jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PENGUMUMAN PENARIKAN BALIK PRODUK MAKANAN YANG DIPERSIJILKAN HALAL DI INDONESIA


Bil. 25/2025

bismillah 2

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada 21 April 2025 berhubung penarikan balik produk makanan daripada pasaran Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi (porcine). JAKIM menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

2. Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH (https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers), hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati sebanyak 11 'batch' daripada 9 produk makanan telah dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal. Daripada jumlah tersebut, 9 'batch' daripada 7 produk memiliki sijil halal, manakala 2 'batch' daripada 2 produk tidak memiliki sijil halal.

3. Sehubungan dengan itu, sebagai langkah pencegahan awal, JAKIM segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan.

4. JAKIM turut mengarahkan pihak-pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi JAKIM melalui emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit dari pasaran Malaysia.

5. Langkah ini adalah sejajar dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini. Justeru itu, JAKIM menyeru orang ramai untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk-produk tersebut di pasaran. Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan berikut: 👉 https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do

6. JAKIM amat komited dalam memastikan produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal dibenarkan berada di pasaran, demi memelihara hak dan kepentingan pengguna Muslim di Malaysia.

Sekian, terima kasih.


DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
22 April 2025 / 23 Syawal 1446H