
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
PELAKSANAAN SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA (SPHM) SECARA ELEKTRONIK (E-CERT)
Bil. 25/2025

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
1. Kerajaan Madani melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperkenalkan pelaksanaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik (e-Cert) bermula 5 Mei 2025, selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam yang dihasratkan dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
2. Semua permohonan SPHM yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia peringkat JAKIM/ MAIN/ JAIN pada atau selepas 5 Mei 2025 akan diproses secara elektronik (e-Cert). Pemohon yang telah mendapat pengesahan kini boleh mencetak sendiri SPHM melalui sistem MYeHALAL.
3. Sekiranya pihak syarikat masih memerlukan SPHM dalam bentuk fizikal yang dicetak dan disahkan oleh JAKIM/MAIN/JAIN, permohonan rasmi hendaklah dikemukakan melalui surat rasmi. Segala urusan percetakan sijil secara fizikal dikategorikan sebagai Cetakan Semula SPHM dan akan dikenakan bayaran selaras dengan Klausa 13, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
4. JAKIM sentiasa komited dalam memastikan nilai daya cipta iaitu pembaharuan dan pengupayaan modal insan yang terkandung dalam teras Malaysia Madani dapat direalisasikan meliputi urusan pensijilan halal. Komitmen ini dizahirkan melalui sokongan terhadap inisiatif digitalisasi selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Sekian, terima kasih.DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
8 Mei 2025M / 10 Zulkaedah 1446H