Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI



JATA
AKBAR

MKI




KENYATAAN MEDIA

PENGERUSI JAWATANKUASA MUZAKARAH
MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA (MKI)

BERKENAAN

PENJELASAN MENGENAI PENYERTAAN UMAT ISLAM DALAM MAJLIS KEAGAMAAN AGAMA LAIN DARI SUDUT AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH, SYARIAH DAN AKHLAK ISLAM



 

Tarikh: 17 Zulkaedah 1446H / 15 Mei 2025

bismillah 2


1. Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengambil perhatian serius terhadap isu penyertaan segelintir umat Islam dalam majlis keagamaan agama lain, khususnya yang melibatkan unsur pemujaan berhala dan ritual bukan Islam. Tindakan seperti paluan kompang oleh individu beragama Islam dalam majlis agama lain wajar diberikan perhatian khusus kerana ia menyentuh asas utama dalam Islam iaitu akidah.

2. Akidah Islam adalah asas yang mengikat hubungan antara seorang hamba dengan Allah. Menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, akidah boleh tergelincir melalui empat (4) cara iaitu:

(i) Hati (i'tiqad): Keyakinan batin terhadap sesuatu yang menyalahi prinsip tauhid;
(ii) Ucapan (lisan): Perkataan yang menyokong, mengiktiraf atau merelakan perkara yang bertentangan dengan Islam;
(iii) Tulisan: Mempromosi, menyebar atau menyokong fahaman yang menafikan keesaan Allah.
(iv) Perbuatan: Menyertai secara fizikal ritual agama lain termasuk melalui simbolik budaya yang digunakan dalam konteks ibadah bukan Islam.

3. Akidah menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah keyakinan (i'tiqad) yang sahih dan jazam (putus) terhadap rukun Iman berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah, bebas daripada penyelewengan seperti tasybih (menyamakan Allah dengan makhluk), ta'til (menafikan sifat Allah), atau takwil yang menyimpang. la menolak syirik, kufur, dan pluralisme agama yang menyamakan semua agama.

4. Penyertaan umat Islam dalam amalan keagamaan bukan Islam membawa kesan buruk dari pelbagai sudut antaranya menjejaskan kemurnian kepercayaan tauhid, melanggar batas hukum dan rujukan fatwa-fatwa yang sah, mewujudkan pemikiran liberal tanpa panduan syariat serta menjejaskan identiti Islam di mata masyarakat dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan generasi muda.

5. Islam mengiktiraf hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Namun, menghormati tidak bererti menyokong atau menyertai ibadah mereka. Menyertai sebarang bentuk perayaan atau ritual keagamaan lain secara langsung atau tidak langsung adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah.

6. Dalam Islam, terdapat prinsip yang jelas mengenai batas-batas dalam pergaulan dan keterlibatan dengan agama lain. Meskipun Islam menggalakkan toleransi dan menghormati penganut agama lain dalam urusan keduniaan, umat Islam dilarang untuk terlibat dalam ritual atau upacara keagamaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun ayat 1 hingga 6
:
Maksudnya: Katakan/ah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku."

7. Ayat ini dengan jelas menunjukkan pemisahan antara ibadah umat Islam dan ibadah penganut agama lain. Keterlibatan umat Islam dalam ritual agama lain, termasuk memainkan alat muzik yang mengiringi upacara tersebut menimbulkan syubhat dan menggugat akidah terutamanya jika dilakukan dengan niat untuk turut serta memuliakan ritual tersebut.

8. Para ulama daripada empat (4) mazhab, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, telah bersepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan Keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang sama sekali. Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahu pun di tempat-tempat lain yang biasa dilaksanakan upacara ritual tersebut. lni berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 72:

Maksudnya: "Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang­orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara­perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya."

9. Tidak semua yang dinamakan budaya adalah bebas nilai. Apabila unsur budaya digunakan dalam konteks ibadah agama lain, ia tidak lagi sekadar budaya, tetapi menjadi sebahagian daripada ritual agama tersebut. Justeru, paluan kompang dalam majlis pemujaan berhala bukanlah lagi sekadar budaya, tetapi perbuatan yang perlu dielakkan kerana boleh ditafsir sebagai sokongan kepada unsur syirik.

10. Menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan. Contohnya majlis rumah terbuka atau majlis makan malam bersempena hari perayaan bukan Islam dan seumpamanya dengan syarat jamuan yang disediakan adalah halal dan tiada hiburan atau aktiviti yang dilarang oleh syarak.

11. Sebagai makluman kepada umat Islam, maklumat berkaitan "Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam" yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2005 dan panduan-panduan hukum serta fatwa-fatwa negeri boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat Islam di Malaysia dalam hal ini.

12. Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa menjaga akidah adalah tanggungjawab setiap Muslim dan umat Islam hendaklah menjauhi sebarang bentuk penyertaan dalam ritual keagamaan agama lain, walaupun atas alasan budaya atau simbolik. lnstitusi pendidikan, masjid dan media perlu memperkukuhkan pendidikan akidah yang betul berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

13. Justeru, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemImpm masyarakat dan badan berautoriti perlu bertindak bijaksana membimbing umat agar tidak terjebak dalam kekeliruan nilai antara agama dan budaya. Masyarakat awam juga dinasihatkan agar sentiasa memelihara akidah dan sensitiviti agama dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang upacara, perarakan atau ritual keagamaan bukan Islam. Penyertaan sedemikian dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan polemik serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini.

14. Akidah adalah tunjang kehidupan seorang Muslim. Hal tersebut tidak seharusnya diperkecilkan atas nama toleransi atau semangat keterbukaan yang melampaui batas. Marilah kita bersama-sama mempertahankan kemurnian Islam dengan ilmu, kesedaran dan tindakan berasaskan syarak.

"Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Sekian, terima kasih.


Saya yang menjalankan amanah,

YANG BERHORMAT DATO' (DR.) HAJI NOOH BIN GADOT
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)