jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

KONVENSYEN JURUAUDIT HALAL MALAYSIA


Bil. 31/2025


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Konvensyen Juruaudit Halal Malaysia pada 29 Julai 2025 (Selasa) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama, Bangi, Selangor.

2. Majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada jam 3.00 petang.

3. Konvensyen ini merupakan inisiatif julung kali dianjurkan bagi mempertingkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan Juruaudit Halal, agar mereka sentiasa kompeten, berwibawa, dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan Pensijilan Halal Malaysia. Selain itu, konvensyen ini juga bertujuan memperkukuh penyelarasan proses pengauditan halal di seluruh negara, demi memastikan kualiti dan konsistensi pensijilan halal Malaysia terus terpelihara dan diyakini di peringkat nasional serta antarabangsa.

4. Dalam usaha memperkasa sistem pensijilan halal negara serta memastikan konsistensi pelaksanaannya di semua peringkat, JAKIM telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan bagi menyelaras secara lebih strategik bersama pihak berkuasa agama negeri (MAIN/JAIN) dan juruaudit halal di negeri-negeri. Sehubungan dengan itu, penganjuran Konvensyen Juruaudit Halal Malaysia ini amat signifikan dan merupakan antara langkah penting yang dilaksanakan bagi meningkatkan efisiensi peranan juruaudit halal sebagai barisan hadapan dalam memperkasa sistem penyampaian, tadbir urus dan tatakelola pensijilan halal. Konvensyen ini turut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan audit halal yang lebih seragam, selaras dan berintegriti di seluruh negara.

5. Sejumlah 233 orang juruaudit halal dari pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengambil bahagian dalam konvensyen ini. Konvensyen akan diserikan dengan dua (2) sesi forum ilmiah yang menampilkan empat (4) tokoh yang dikenali dalam bidang halal. Forum-forum ini akan membincangkan secara mendalam landskap baharu pensijilan halal, cabaran-cabaran semasa serta persiapan yang perlu diambil oleh semua pihak berkepentingan. Selain itu, perbincangan juga akan menumpukan kepada pembangunan juruaudit halal yang berwibawa dan kompeten, sebagai usaha memastikan sistem pensijilan halal Malaysia terus diyakini, relevan, dan berdaya saing dalam menghadapi dinamik industri serta keperluan global yang sentiasa berubah.

6. Sebagai komitmen kerajaan dalam memperkasakan sistem pensijilan halal negara, penambahan seramai 100 juruaudit halal baru telah diperuntukkan, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025. Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan dan memperkemas proses pengeluaran sijil halal di seluruh negara. Sejajar dengan itu, penganjuran konvensyen ini amat signifikan sebagai usaha strategik untuk memperkukuh peranan juruaudit halal bagi memastikan piawaian halal yang tinggi terus dipatuhi oleh semua pihak terlibat. Selain menjadi platform perbincangan cabaran-cabaran semasa, konvensyen ini juga menggalakkan penyelarasan yang lebih komprehesif dalam sistem pensijilan halal Malaysia antara JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri (MAIN/JAIN).

7. Konvensyen ini turut mencerminkan aspirasi kerajaan dalam merealisasikan Agenda Islam Mekar di Bumi Malaysia dan Konsep Kerajaan MADANI, di mana usaha memartabatkan pensijilan halal bukan sahaja meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti dalam industri halal, tetapi juga menyokong pembangunan masyarakat Islam yang sejahtera, adil dan berdaya saing di peringkat global.

8. Semoga dengan penganjuran konvensyen ini dapat meningkatkan kompetensi dan profesionalisme juruaudit di samping menjadi platform untuk bertukar pandangan dan idea dalam memartabatkan pensijilan halal Malaysia. Sesungguhnya Kerajaan MADANI sangat komited dalam memartabatkan agenda halal negara ini dan dalam masa yang sama mengukuhkan nama Malaysia sebagai hub halal terunggul di dunia.

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
28 JULAI 2025M / 3 SAFAR 1447H