jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PENGANJURAN PROGRAM “AL-QURAN DI MANA-MANA: TILAWAH DAN TADABBUR”


Bil. 32/2025

1. Program “Al-Quran Di Mana-Mana” merupakan inisiatif strategik yang digerakkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai kempen promosi berimpak tinggi bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali ke-65 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Kempen ini turut disokong dengan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM, Agensi Hal Ehwal Agama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), rakan strategik, institusi pengajian, badan bukan kerajaan, serta jaringan masjid dan surau di negara sempadan.

2. Kempen ini mengangkat pengisian Tilawah dan Tadabbur al-Quran dengan membawa mesej mendalam bahawa membaca dan menghayati al-Quran bukanlah terhad kepada majlis rasmi semata-mata, tetapi boleh menjadi amalan harian di mana jua di dalam pengangkutan awam, di pejabat, taman rekreasi mahupun di ruang awam sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Islam.

3. Tumpuan utama kempen ini adalah penghayatan isi kandungan al-Quran secara menyeluruh. Melalui pendekatan yang lebih dekat dan mesra masyarakat, kempen yang dianjurkan ini bertujuan menghidupkan suasana rohani yang selari dengan semangat penganjuran MTHQA, sekali gus memperluas impak al-Quran dalam kehidupan seharian. Ia bukan kempen untuk meraih populariti, tetapi seruan ikhlas agar masyarakat kembali menjadikan al-Quran sebagai teman hidup untuk dibaca, dihayati dan dirasai maknanya.

4. Segmen pertama kempen ini akan dimulakan pada 29 hingga 31 Julai 2025 melalui kerjasama strategik bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Padang Besar. Perjalanan ini kemudiannya disambung dengan perkhidmatan State Railway of Thailand (SRT) sebagai kesinambungan laluan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang berakhir di Hatyai. Antara pengisian sepanjang perjalanan termasuklah Sesi Membaca al-Quran, Sesi Ibrah serta Tadabbur al-Quran, yang dilaksanakan di beberapa ‘checkpoint’ terpilih. Aktiviti ini turut diteruskan di Pusat Islam, masjid, surau dan ruang komuniti di negara sempadan yang telah dikenalpasti dengan matlamat untuk membolehkan peserta menyelami mesej al-Quran secara lebih dekat, mendalam dan reflektif. Selain itu, pelbagai bentuk pengisian sosial dan khidmat masyarakat turut dilaksanakan sepanjang pengembaraan ini berlangsung. Antaranya termasuk agihan sumbangan kepada komuniti setempat, sumbangan Waqaf al-Quran untuk diagihkan ke institusi pendidikan, masjid, surau, dan institusi tahfiz juga khidmat komuniti.

5. Segmen kedua kempen ini diserikan dengan inisiatif istimewa “Al-Quran Di Mana-Mana @ Bukit Bintang” yang buat pertama kalinya akan dianjurkan pada 31 Julai 2025 (Khamis), bermula jam 8.00 malam. Program ini secara signifikan melambangkan peluasan budaya membaca dan mentadabbur al-Quran ke jantung kota raya Kuala Lumpur, sekali gus membawa mesej bahawa al-Quran wajar diangkat sebagai panduan hidup yang dekat dengan masyarakat, tanpa mengira masa atau tempat. Inisiatif ini diilhamkan untuk mencetuskan gelombang kesedaran baharu yang segar, inklusif dan terbuka dalam kalangan warga kota, agar budaya membaca dan menghayati al-Quran dapat diamalkan secara santai namun sarat dengan nilai rohani tepat pada waktunya, di tengah-tengah denyut nadi kehidupan moden.

6. Hakikatnya, kempen ini bukan sekadar suatu acara, tetapi merupakan gerakan rohani yang mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk kembali menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama kehidupan dibaca, difahami serta diamalkan nilai dan ajarannya. Dengan pendekatan yang terbuka, inklusif dan menyentuh semua peringkat umur serta latar belakang, inisiatif ini diharap dapat membentuk satu budaya al-Quran yang lestari dalam komuniti moden. Lebih utama, apabila budaya ini diamalkan secara meluas, ia menjadi cerminan indah kepada dunia bahawa rakyat Malaysia tetap teguh memelihara jati diri beragama, menjunjung tinggi nilai murni Islam serta memperkukuh kerangka masyarakat berteraskan prinsip Malaysia MADANI.

7. Justeru itu, Kerajaan MADANI melalui JAKIM menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama menyemarakkan budaya membaca, mentadabbur dan menghayati al-Quran di mana sahaja secara santai, mesra dan terbuka di lokasi masing-masing. Kongsi momen-momen tersebut di media sosial dengan tanda pagar:

#AlQuranDiManaMana #MTHQA65 #MTHQA2025

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
29 JULAI 2025M / 4 SAFAR 1447H