jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PELUNCURAN JERAYAWARA KESEDARAN ISU SOSIAL (J-KIS) PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2025


Bil. 33/2025

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri W.P. Kuala Lumpur, W.P. Putrajaya, Selangor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP sukacitanya menganjurkan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang akan berlangsung pada 30 Julai 2025 (Selasa), bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

2. Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) merupakan inisiatif julung kali diperkenalkan dan akan diluncurkan secara rasmi oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pada jam 11.40 pagi.

3. Program ini menyasarkan golongan remaja di alam persekolahan dan institusi pengajian tinggi yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kesedaran peserta terhadap isu-isu sosial yang kritikal pada masa kini seperti gejala sosial, kesejahteraan kesihatan mental, kecelaruan seksual dan gender, serta tanda-tanda pengantunan seksual (sexual grooming).

4. Remaja adalah aset paling berharga kepada negara. Mereka merupakan generasi pewaris masa depan yang berperanan penting dalam meneruskan pembangunan bangsa dan negara. Melalui pendedahan dan bimbingan yang holistik dalam program ini, diharapkan remaja dapat dibentuk menjadi individu yang berdaya saing, berintegriti serta bertanggungjawab dalam membina masyarakat yang sihat, sejahtera dan harmoni.

5. Seramai 800 orang menggabungkan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa IPT akan menyertai program ini merangkumi pelajar sekolah menengah (KPM) dari W.P. Kuala Lumpur, W.P. Putrajaya, Selangor serta pelajar sekolah di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan terdiri SMA MAIWP, SMISTA dan Pondok Moden Al-'Abaqirah. Mewakili mahasiswa IPT pula termasuk mahasiswa daripada University College MAIWP International, Kolej Profesional MAIWP, International Islamic College dan Kolej Darul Hikmah.

6. Antara slot yang menarik ditengahkan kepada para pelajar adalah “Jiwa Kacau: Kongsi atau Pendam?” yang akan disampaikan oleh Ustaz Muhammad Asyraf Saifuddin, Pensyarah UniKL, “Mengurus Medsos” oleh Dr. Shamsul Azhar bin Yahya, Timbalan Pengurus Besar YAPEIM dan “Anda, Dakwah & LGBT” dan “Pengantunan Seksual (Sexual Grooming)” oleh Akhi Fairuz Al-Jengkawi, MFA Smart Training & Consultancy.

7. Kerajaan MADANI melalui JAKIM amat berharap program J-KIS ini dapat memberi impak positif dalam membimbing dan meningkatkan kefahaman para remaja dan belia tentang isu-isu sosial yang semakin mencabar. Melalui kesedaran dan pendidikan yang sistematik, golongan muda dapat mengukuhkan keimanan serta nilai moral yang menjadi tonggak kepada pembentukan sahsiah mulia dan sahsiah masyarakat madani.

8. Program ini juga selari dengan aspirasi kerajaan melalui gagasan Islam Mekar di Bumi Malaysia yang memberi penekanan kepada pembangunan insan yang holistik, berintegriti, dan bertanggungjawab dalam memacu kemajuan negara. Remaja sebagai aset penting negara harus diperkasakan agar mampu meneruskan legasi transformasi sosial dan memacu kemakmuran negara secara berterusan dan progresif.

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
30 JULAI 2025M / 5 SAFAR 1447H