jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PELAKSANAAN MyHALALINGREDIENTS


Bil. 36/2025

1. Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa video yang tular di media sosial dengan tajuk “JAKIM jarang audit daging import Australia, rakyat Malaysia termakan bangkai” merupakan rakaman lama dari tahun 2022 yang kembali ditularkan. Video tersebut mengandungi maklumat yang tidak tepat serta berpotensi mengelirukan orang ramai.

2. Seperti dimaklumi, JAKIM mempunyai mekanisme penilaian dan pemantauan halal yang bersifat holistik, melibatkan prosedur yang komprehensif di peringkat nasional dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Mekanisme ini turut merangkumi penilaian serta pemantauan berterusan terhadap badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM, bagi memastikan hanya produk yang benar-benar mematuhi hukum syarak dan piawaian Malaysia dibenarkan masuk ke pasaran negara.

3. Proses sembelihan serta pemprosesan produk daging dan berasaskan daging yang dibekalkan atau dieksport ke Malaysia wajib mematuhi hukum syarak, Standard Malaysia (MS 1500) dan ‘Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Productions’, di samping mematuhi peraturan khusus negara pengeksport. Hanya produk daripada rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang telah disahkan halal oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM, serta telah diaudit dan diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan JAKIM, dibenarkan dieksport ke Malaysia.

4. Di peringkat antarabangsa, JAKIM mempunyai Pejabat Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia, yang bertanggungjawab melaksanakan pemantauan secara berjadual dan berterusan terhadap rumah sembelihan dan loji pemprosesan produk daging yang telah diluluskan serta diiktiraf oleh DVS Malaysia.

5. Pihak berkuasa Australia sendiri iaitu The Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF) turut menguatkuasa peraturan yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk tujuan eksport. Hanya produk yang memenuhi peraturan eksport Australia serta mematuhi keperluan negara pengimport, termasuk syarat halal Malaysia, akan dibenarkan dieksport.

6. Selain itu, di pintu masuk negara, pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Semua dokumen termasuk Sijil Pengesahan Halal, ‘Consignment Note’ dan butiran pengimportan diperiksa secara terperinci. Hanya produk yang sahih, lengkap, dan memenuhi semua syarat akan dibenarkan masuk ke pasaran tempatan.

7. Oleh yang demikian, dakwaan bahawa JAKIM tidak melaksanakan audit adalah tidak berasas, kerana semua proses dijalankan mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kedua-dua negara, bagi menjamin hanya produk yang benar-benar halal sampai kepada masyarakat, khususnya umat Islam di Malaysia.

8. Sehubungan dengan itu, masyarakat diingatkan supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya, serta merujuk sebarang isu berkaitan halal kepada pihak berkuasa yang berwibawa untuk pengesahan.

Sekian, terima kasih.


DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
15 OGOS 2025M / 21 SAFAR 1447H