jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

MAJLIS PRAPELANCARAN GLOBAL HALAL SUMMIT (GHaS) 2025


Bil. 38/2025


1. Kerajaan Madani melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan penuh bangga mengumumkan bahawa Malaysia bakal menganjurkan Global Halal Summit (GHaS) 2025.

2. ⁠Majlis pada hari ini diadakan bagi memaklumkan bahawa Malaysia sekali lagi tampil menerajui penganjuran acara halal terbesar dunia, iaitu Global Halal Summit (GHaS) 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 26 September 2025 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Acara berprestij ini merupakan inisiatif JAKIM bersama rakan-rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri serta ekosistem halal negara, antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui agensi di bawah seliaannya iaitu MATRADE, Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Standard Malaysia (JSM) di samping kerjasama erat dengan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Islamic Tourism Centre (ITC), yang sekian lama menjadi tonggak penting dalam membentuk ekosistem halal negara.

3. ⁠Sidang kemuncak kali ini mengekalkan tema ‘Integrity, Sustainability, Resilience’ yang mencerminkan tekad Malaysia untuk terus memperkukuh ekosistem halal di peringkat nasional dan global. Ia juga menegaskan komitmen Malaysia dalam mengekalkan jenama Halal Malaysia sebagai peneraju halal dunia yang diyakini dan dipercayai. GHaS 2025 bakal menjadi platform strategik yang menghimpunkan badan pensijilan halal antarabangsa, penggubal dasar, pemain industri serta ahli akademik bagi memperkukuh kerjasama, berkongsi kepakaran dan merintis peluang baharu dalam agenda halal global.

4. Antara program ‘Flagship’ yang bakal berlangsung sempena GHaS 2025 ialah:
i) 15th Halal Certification Bodies Convention (HCBC) – anjuran JAKIM pada 16 hingga 17 September 2025, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur;
ii) 4th International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP) – anjuran JAKIM pada 16 hingga 17 September 2025, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur;
iii) Global Halal Talk – anjuran JAKIM pada 17 September 2025, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur;
iv) 21st Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) – anjuran MATRADE pada 17 hingga 20 September 2025, MITEC Kuala Lumpur;
v) 14th SMIIC Technical Committee Week – anjuran JSM pada 22 hingga 26 September 2025, Impiana Hotel Kuala Lumpur;
vi) World Halal Business Conference (WHBC) – anjuran HDC pada 18 September 2025, MITEC Kuala Lumpur; dan
vii) Malaysia International Halal Research and Education Conference (MIHREC 2025) – anjuran IPPH UPM pada 19 hingga 22 September 2025, Everly Hotel Putrajaya.

5. Program utama anjuran JAKIM iaitu HCBC, IHTCDP dan Global Halal Talk menjadi wadah penting yang akan menghimpunkan badan pensijilan halal antarabangsa serta pakar industri juga pihak-pihak berkepentingan dalam industri halal. Program ini bakal memperkukuh kompetensi juruaudit khususnya juruaudit Syariah, meningkatkan penguasaan terhadap prosedur dan piawaian halal JAKIM, selain membuka ruang perkongsian kepakaran serta jaringan kerjasama global yang lebih erat.

6. Dalam majlis prapelancaran ini juga bakal diumumkan bahawa TV AlHijrah dipilih sebagai Rakan Media Rasmi GHaS 2025, manakala MyCar sebagai Rakan E-Hailing Rasmi GHaS 2025.

7. Sidang kemuncak ini membuktikan komitmen Malaysia untuk terus memacu inisiatif kolaboratif halal di peringkat global serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai jambatan strategik yang diyakini dunia.

8. Penganjuran Global Halal Summit 2025 akan terus menyemarakkan budaya pemikiran inovatif, penerokaan teknologi baharu serta perkongsian idea segar yang akan melonjakkan lagi ekosistem halal negara ke persada antarabangsa. Himpunan agung ini juga menzahirkan komitmen teguh Malaysia melalui Kerajaan Madani untuk terus mengekalkan kecemerlangan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal dunia yang unggul, diyakini dan dipercayai.

9. Sehubungan dengan itu, rakan-rakan media adalah dipohon untuk menguar-uarkan penganjuran program berprestij ini, sekaligus dijemput hadir membuat liputan sepanjang program berlangsung di lokasi, masa dan tarikh yang dinyatakan.

Sekian, terima kasih.


DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
4 SEPTEMBER 2025M / 11 RABIULAWAL 1447H