jata negara small
  

SIARAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

GLOBAL HALAL SUMMIT (GHaS) 2025

16 SEPTEMBER 2025M / 24 RABIULAWAL 1447H


1. Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia akan menganjurkan Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang berlangsung di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya mulai 16 hingga 26 September 2025. Acara tahunan halal terbesar ini juga bakal dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di MITEC, Kuala Lumpur pada 19 September 2025.

2. Sidang Kemuncak ini menjadi medan penting yang menonjolkan peranan Malaysia serta perkembangan pesat ekonomi halal di peringkat antarabangsa. Dengan penyertaan hampir 50 buah negara dan pelbagai badan pensijilan halal antarabangsa, sidang ini membuktikan bahawa industri halal kini diiktiraf sebagai piawaian global juga menjadi rujukan universal yang diiktiraf di seluruh dunia.

3. Mengangkat tema ‘Integrity, Sustainability, Resilience’, GHaS 2025 membuka hala tuju baharu kepada pasaran halal dunia. Sidang ini bukan sahaja menjadi platform pertemuan pemimpin industri, penggubal dasar, akademik, badan pensijilan halal antarabangsa dan pengguna, malah menzahirkan tanggungjawab bersama untuk membina ekosistem halal yang diyakini, berinovasi, serta mampu menghadapi cabaran ekonomi global yang kian dinamik.

4. Seiring dengan itu, GHaS terus menjadi wadah utama dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dan rujukan halal dunia. Malaysia telah diiktiraf sebagai peneraju halal global selama 11 tahun berturut-turut sebagaimana yang dinyatakan melalui Laporan Global Islamic Economy (GIE) 2024, sekali gus membuktikan keupayaan negara dalam memacu pembangunan industri halal di peringkat antarabangsa.

5. Acara berprestij ini adalah hasil inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui agensi di bawah seliaannya iaitu Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Jabatan Standard Malaysia (JSM). Turut berganding bahu ialah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Islamic Tourism Centre (ITC) yang sekian lama menjadi tonggak penting dalam melahirkan kepakaran penyelidikan, inovasi dan pembangunan pelancongan halal yang menyokong pertumbuhan ekosistem halal negara secara menyeluruh.

6. Sebagai peneraju utama dalam pengurusan pensijilan halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan (3) tiga acara utama sempena GHaS 2025, iaitu Halal Certification Bodies Convention (HCBC), International Halal Technical Capacity Development Program (IHTCDP) dan Global Halal Talk (GHT). Ketiga-tiga program ini dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 17 September 2025 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, dan berperanan sebagai platform strategik yang bukan sahaja menghimpunkan badan pensijilan halal antarabangsa, pihak industri, ahli akademik serta pihak berkepentingan dalam ekosistem halal, malah turut berperanan sebagai platform wacana berprestij yang membincangkan hala tuju, cabaran dan masa depan industri halal dunia.

7. Bagi edisi ke-15, HCBC mengetengahkan tema “Igniting Excellence: Bridging Halal Worldwide” yang akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu strategik termasuk perkembangan ekosistem halal, fatwa kontemporari berkaitan isu halal, pelancongan mesra Muslim menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, perkembangan teknologi sejajar dengan hukum syarak, halal forensik, serta aspek kemampanan dan keselamatan makanan yang menjadi elemen penting dalam landskap halal global. Selain itu, turut akan dikongsikan berkaitan transformasi digital pensijilan halal melalui platform ‘Malaysia International Halal Authority Board System’ (MyIHAB) dan ‘JAKIM International Abattoir Application System’ (JIAAS) yang merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital halal Malaysia yang dibangunkan bagi mempertingkat kecekapan, ketelusan serta keberkesanan proses pengurusan halal di peringkat antarabangsa.

8. Sementara itu, International Halal Technical Capacity Development Program (IHTCDP) edisi ke-4 dengan tema “Strengthening Core Competencies for Success” akan menampilkan enam sesi khusus yang bertujuan memperkasa kompetensi badan pensijilan halal antarabangsa. Program ini berfungsi sebagai platform strategik pemindahan ilmu oleh JAKIM selaku autoriti pensijilan halal bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam ekosistem halal global. Inisiatif ini diyakini dapat memperkukuh keupayaan syariah dan teknikal delegasi antarabangsa, sekali gus melahirkan badan pensijilan halal antarabangsa yang lebih berdaya saing, berintegriti dan diyakini, bagi memastikan pensijilan halal terus mendapat pengiktirafan serta menjadi rujukan di pentas global.

9. Sidang kemuncak kali ini juga menampilkan satu inisiatif baharu melalui penganjuran Global Halal Talk (GHT), yang berperanan sebagai medan wacana berprestij menghimpunkan pandangan strategik daripada kepimpinan tertinggi negara. GHT akan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), diikuti penyampaian ucapan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Acara ini akan memberi fokus kepada perkongsian hala tuju dan aspirasi masa depan industri halal global, termasuk membincangkan cabaran baharu, peluang pelaburan, serta peranan teknologi dalam memperkukuh daya saing ekosistem halal. Antara sorotan utama ialah inisiatif transformasi digital sistem halal Malaysia, yang dilaksanakan sebagai tonggak utama ke arah memperkukuh kedudukan negara sebagai pusat halal dunia yang diyakini, telus dan berwibawa.

10.Penganjuran Global Halal Summit (GHaS) 2025 bukan sekadar mengukuhkan peranan kepimpinan Malaysia, malah menawarkan negara ini sebagai rakan strategik kepada mana-mana negara yang berhasrat membangunkan atau memperluas ekosistem halal masing-masing. Sidang kemuncak ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk menghimpunkan pelbagai idea global, sekali gus mengimbangi tuntutan agama, integriti dengan keperluan masa kini.

11.Justeru, JAKIM mengalu-alukan kehadiran pihak media bagi membuat liputan di Majlis Perasmian GHaS 2025 serta rangkaian acara utama sepanjang sidang kemuncak ini, antaranya:

     i. 15th Halal Certification Bodies Convention (HCBC) – anjuran JAKIM pada 16 hingga 17 September 2025, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur;

     ii. 4th International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP) – anjuran JAKIM pada 16 hingga 17 September 2025, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur;

     iii. Global Halal Talk (GHT) – anjuran JAKIM pada 17 September 2025, Shangri-La Hotel Kuala Lumpur;

     iv. 21st Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) – anjuran MATRADE pada 17 hingga 20 September 2025, MITEC Kuala Lumpur;

     v. 14th SMIIC Technical Committee Week – anjuran Jabatan Standard Malaysia (JSM) pada 22 hingga 26 September 2025, Impiana Hotel Kuala Lumpur;

     vi. World Halal Business Conference (WHBC) – anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) pada 18 September 2025, MITEC Kuala Lumpur; dan

     vii. Malaysia International Halal Research and Education Conference (MIHREC 2025) – anjuran Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 19 hingga 22 September 2025, Everly Hotel Putrajaya.

12.Kesemua acara ini menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI melalui JAKIM untuk terus memperkasa serta memelihara imej pensijilan halal Malaysia agar kekal unggul sebagai peneraju pensijilan halal bertaraf dunia.

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA