
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
PELAKSANAAN SOLAT HAJAT, QUNUT NAZILAH DAN KHUTBAH KHAS SOLADIRITI UNTUK
GLOBAL SUMUD FLOTILLA DAN PALESTIN
Bil. 42/2025
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan agar Solat Hajat dilaksanakan di semua masjid di bawah seliaan JAKIM selepas solat Maghrib pada hari ini, dan bacaan Qunut Nazilah dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 3 Oktober 2025. Pelaksanaan ini turut diselaraskan bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan.
2. Satu Khutbah Khas bertemakan Doa dan Solidariti untuk Palestin juga akan disampaikan di seluruh Wilayah Persekutuan, sebagai manifestasi kebersamaan umat Islam Malaysia dalam mendukung perjuangan rakyat Palestin dan menyatakan sokongan terhadap pasukan Global Sumud Flotilla.
3.Inisiatif ini dizahirkan sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia bersama saudara seagama di Palestin, di samping menyahut seruan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berikutan tindakan biadab rejim Israel yang memintas dan menghalang pasukan Global Sumud Flotilla dalam misi kemanusiaan menuju Gaza.
4. Sehubungan dengan itu, JAKIM menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar bersatu hati memperbanyakkan doa serta terus teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin. Tumpuan diberikan kepada mendoakan keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla, termasuk rakyat Malaysia yang terlibat, serta kemenangan buat saudara kita di bumi Gaza.
5. Semoga dengan doa dan kesatuan usaha ini, Allah SWT melindungi saudara kita di Palestin, mengurniakan kekuatan serta kemenangan kepada mereka, dan menamatkan kezaliman yang berlaku.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
2 OKTOBER 2025 / 10 RABIULAKHIR 1446