jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

SEMINAR LELAKI QAWWAM PERINGKAT KEBANGSAAN 2025

Bil. 43/2025


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2025 (Rabu), bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bertempat di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Jalan Senawang-Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

2. Majlis Perasmian Penutup akan disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada pukul 12.00 tengah hari di lokasi yang sama.

3. Dalam menghadapi cabaran kehidupan moden seperti tekanan sosial, ekonomi, dan emosi yang semakin kompleks, seminar ini diharap dapat mempertingkatkan kefahaman lelaki terhadap peranan mereka sebagai pemimpin, pelindung, dan pembela keluarga selaras dengan konsep Qawwam yang terkandung dalam Surah An-Nisa’, ayat 34. Justeru, seminar ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Lelaki Qawwam, satu pendekatan strategik di bawah Pelan Transformasi al-Falah bagi memperkukuh tanggungjawab dan memperkasa kepimpinan lelaki dalam mentadbir diri, keluarga, masyarakat dan negara. Antara lain, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan penting lelaki dalam memastikan kesejahteraan keluarga dan membina masyarakat yang harmonis.

4. Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta, melibatkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pegawai Runding Cara Keluarga, Penceramah Kursus Pra- dan Pascaperkahwinan Islam, Guru Takmir dari Jabatan Agama Islam Negeri, anggota badan beruniform, Du’at al-Falah, penjawat awam serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).

5. Antara pengisian utama seminar ialah:

i. Slot “Qawwam: Kepimpinan Lelaki Dalam Al-Quran dan Hadith” oleh Ustaz Syaari Ab. Rahman, Jurulatih Utama Tadabbur Centre Sdn Bhd.

ii. Slot “Kesihatan Lelaki: Realiti dan Solusi” oleh Prof. Madya Dr. Mohd Radzniwan A. Rashid, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

iii. Forum “Lelaki Qawwam: Antara Peranan dan Tekanan”, dengan panel Syamsul Debat (Pendakwah Bebas), Tuan Fadzli Aziz (Kaunselor Keluarga) dan dimoderatorkan oleh YM Ustaz Tengku Nor Iftah bin Tengku Jamil, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

6. Sempena seminar yang bakal berlangsung, satu mercu tanda penting dalam usaha memperkukuh Inisiatif Lelaki Qawwam akan disempurnakan menerusi peluncuran Logo Rasmi Inisiatif Lelaki Qawwam sebagai lambang komitmen dan identiti yang kukuh dalam menyatukan agenda ini di seluruh negara. Selain itu, peluncuran 'Podcast Qawwam' pula membuka ruang inovatif dalam dunia digital sebagai platform advokasi yang santai, inklusif, dan penuh inspirasi, menjadikan mesej Inisiatif Lelaki Qawwam lebih dekat dan mudah dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat.

7. Penganjuran Seminar Lelaki Qawwam ini merupakan langkah proaktif kerajaan, khususnya agensi agama, dalam membina semula kesedaran kolektif mengenai peranan lelaki sebagai 'qawwam' iaitu pemimpin, pelindung, dan pembimbing keluarga. Diharapkan seminar yang dianjurkan ini dapat mengangkat kembali peranan lelaki sebagai tonggak utama dalam membentuk keluarga yang harmoni serta memperkukuhkan sistem sokongan institusi kekeluargaan. Antara lain, ia dapat memperkukuhkan rasa kepedulian golongan bapa dan lelaki dewasa terhadap pembangunan generasi masa depan yang berkualiti dan berdaya tahan.

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
7 OKTOBER 2025M / 15 RABIULAKHIR 1447H