
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
KEUTUHAN DAN INTEGRITI STANDARD HALAL MALAYSIA KEKAL TERJAMIN
Bil. 48/2025
1. Kenyataan media YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung penegasan Malaysia tidak berkompromi terhadap standard halal jelas mencerminkan pendirian JAKIM dalam menegakkan dan mempertahankan integriti sistem pensijilan halal negara. Sebarang dakwaan bahawa Malaysia berkompromi terhadap standard halal adalah tidak benar dan tidak berasas.
2. Malaysia hanya mengiktiraf sijil halal daripada badan pensijilan luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat, selepas melalui proses audit menyeluruh mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production. Penilaian ini mesti dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua pegawai Syariah, dan laporan audit diperakukan oleh jawatankuasa yang dilantik oleh JAKIM. Justeru, semua badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM dikehendaki mematuhi sepenuhnya semua standard dan piawaian yang ditetapkan Malaysia, termasuk menepati aspek syariah, keselamatan, kebersihan, dan prosedur audit, tanpa pengecualian
3. Ingin ditegaskan bahawa pengiktirafan sijil halal luar negara tidak bermakna kelonggaran terhadap standard halal Malaysia. Sebaliknya, ia hanya melancarkan urusan pentadbiran dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala. Oleh yang demikian, semua produk import tetap tertakluk kepada penilaian oleh JAKIM, pemantauan berkala, serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011, bagi memastikan integriti, ketelusan, dan ketegasan sistem halal negara terus terpelihara.
4. JAKIM sentiasa beriltizam penuh untuk memastikan sistem pensijilan halal Malaysia terus menjadi penanda aras global, sentiasa menepati prinsip syariah, dan diterima pakai oleh negara Islam dan bukan Islam. Semua perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Malaysia hanya berkuat kuasa setelah diterjemahkan ke dalam undang-undang domestik, bagi memastikan kepentingan syariah, standard halal, dan keselamatan pengguna terus terpelihara. Dalam konteks ini, Malaysia kekal tegas dalam mempertahankan kedaulatan, keutuhan, dan kredibiliti standard halal negara, dan JAKIM akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi bagi memastikan semua produk halal, sama ada tempatan atau import, mematuhi Standard Halal Malaysia sepenuhnya.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
31 OKTOBER 2025M / 9 JAMADILAWAL 1447H
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
31 OKTOBER 2025M / 9 JAMADILAWAL 1447H
