
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
PENGIKTIRAFAN “MUSLIM CHOICE” OLEH MUSLIM FRIENDLY WATCH (MFW)
Bil. 49/2025
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerima maklumat mengenai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang dikenali Muslim Friendly Watch (MFW), yang telah memperkenalkan pengiktirafan “Muslim Choice” kepada para pengusaha yang menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh pertubuhan tersebut dengan tujuan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis yang diiktiraf adalah berkualiti, bersih dan selamat serta selari dengan prinsip Islam.
2. Jabatan ini telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan telah memaklumkan bahawa pengiktirafan “Muslim Choice” yang dijalankan oleh pertubuhan ini boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat pengguna serta memohon supaya aktiviti tersebut dihentikan. Walau bagaimanapun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut.
3. Sehubungan dengan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin menegaskan bahawa penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” atau seumpamanya yang diperkenalkan oleh mana-mana pihak, termasuk Pasukan Pemantau Mesra Muslim (Muslim-Friendly Watch – MFW), bukanlah suatu perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa, malah boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
4. Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.
5. Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam, yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan. Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim.
6. Justeru, semua pihak diingatkan untuk tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada JAKIM atau MAIN/JAIN.
Sekian, terima kasih.DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
2 NOVEMBER 2025M / 11 JAMADILAWAL 1447H
