
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
KONVENSYEN NASIONAL MADANI PENJAGAAN SPIRITUAL ISLAM TAHUN 2025
Bil. 50/2025
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia (PAKSI), Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA) dan Malaysian Islamic Spiritual Care Society (MISCS) akan menganjurkan Konvensyen Nasional Madani Penjagaan Spiritual Islam Tahun 2025 bertemakan “Spiritual Teguh, Resilien Utuh” pada 3 November 2025 (Isnin) bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
2. Majlis perasmian konvensyen ini akan disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada jam 3.00 petang. Dalam majlis yang sama, YB Menteri akan meluncurkan Manual Psikospiritual Islam yang menjadi panduan penting dalam memperkukuh pelaksanaan penjagaan spiritual Islam di pelbagai sektor, khususnya dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
3. Konvensyen ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan elemen penjagaan spiritual Islam dalam memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan yang bersifat holistik, merangkumi aspek bio-psiko-sosial-spiritual. Pendekatan ini menekankan keseimbangan antara rawatan fizikal dan pemulihan spiritual, bagi meningkatkan ketahanan diri dan kesejahteraan emosi dalam kalangan pesakit, keluarga serta penyedia perkhidmatan kesihatan.
4. Lebih 800 peserta daripada pelbagai latar belakang profesional dijangka hadir memeriahkan konvensyen ini, termasuk pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta agensi-agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah pegawai kader JAKIM yang bertugas di kementerian dan agensi luar, pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), pensyarah dan pelajar universiti awam, serta pegawai psikiatri dan psikologi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hospital-hospital kerajaan.
5. Sepanjang konvensyen, sesi plenari dan simposium akan diadakan melibatkan tokoh akademik serta pakar dalam bidang kesihatan mental dan psikospiritual Islam seperti berikut:
i. Sidang Plenari 1, bertajuk “Kesejahteraan Spiritual dalam Kesihatan Mental”, akan disampaikan oleh YBrs. Dr. Ahmad Rostam bin Md Zin, Pakar Perunding Psikiatri (Konsultasi Liaison), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, KKM.
ii. Sidang Plenari 2, bertemakan “Spiritualiti Islam: Impak Resilien kepada Masyarakat”, akan disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Isa bin Abdullah, Penolong Mufti, Pejabat Mufti Melaka.
iii. Sidang Plenari 3, bertajuk “Intervensi Psikospiritual Islam: Preskripsi Kesihatan Mental”, akan disampaikan oleh YBhg. Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin, Pensyarah Kanan, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya.
6. Selain itu, Simposium bertemakan “Perspektif Spiritual dalam Konteks Multidisiplin” turut diadakan, menampilkan tiga ahli panel berpengalaman:
i. YBrs. Dr. Fazlina binti Ahmad, Pakar Perunding dan Ketua Kepakaran Perubatan Paliatif, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, yang membentangkan tajuk “Memenuhi Keperluan Spiritual Pesakit”;
ii. YBhg. Prof. Dr. Che Zarrina binti Sa’ari, Timbalan Pengerusi Persatuan Psikospiritual Islam (IPSA) dan Pensyarah, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, yang menyampaikan tajuk “Sokongan Psikospiritual kepada Pesakit”; dan
iii. YBhg. Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper, Presiden Persatuan Kaunseling Islam (PAKSI) serta Pensyarah Kanan, Fakulti Kaunseling dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang membentangkan tajuk “Kaunseling Syarie sebagai Asas Intervensi Spiritual Islam”.
7. Penganjuran konvensyen ini diharap dapat menjadi platform ilmu dan kolaborasi strategik antara institusi agama, akademik dan kesihatan dalam memperkukuh kefahaman serta pelaksanaan penjagaan spiritual Islam di Malaysia. Ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan insan secara menyeluruh dengan menjadikan spiritualiti sebagai indikator kesejahteraan holistik.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEESekian, terima kasih.
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
2 NOVEMBER 2025M / 11 JAMADILAWAL 1447H
