jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PENDAFTARAN MURID SEKOLAH RENDAH ISLAM AL-AFSARI UNTUK MENDUDUKI UJIAN PENILAIAN AL-QURAN DAN FARDHU AIN (UPKK) TAHUN 2025


Bil. 51/2025


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian serius terhadap laporan melibatkan seramai 80 orang murid dari Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong, Selangor yang tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025.

2. JAKIM amat memahami kegusaran dan kekecewaan yang dirasai oleh ibu bapa serta murid-murid yang terlibat, memandangkan peperiksaan UPKK merupakan antara pentaksiran penting dalam menilai kefahaman dan penghayatan asas-asas Islam yang telah dipelajari oleh pelajar KAFA di seluruh negara.

3. Surat rayuan daripada pihak sekolah telah diterima pada 15 Oktober 2025 bagi memohon pertimbangan agar murid-murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut. Namun, hasil semakan mendapati murid-murid yang terlibat tidak didaftarkan sebagai calon UPKK Tahun 2025 melalui sistem rasmi pendaftaran calon, iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI).

4. Susulan itu, JAKIM telah mengadakan semakan silang dan perbincangan bersama Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi pelaksana KAFA di peringkat negeri.

5. Pihak JAIS telah mengesahkan bahawa Sekolah Rendah Islam al-Afsari belum berdaftar di bawah JAIS serta beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT). Keadaan ini menyebabkan sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Negeri Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.

6. Bagi memperjelaskan keadaan, JAKIM telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pihak sekolah pada 3 November 2025. Dalam pertemuan tersebut, JAKIM menjelaskan bahawa:

i) Peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942, bagi menjamin kerahsiaan dan integriti peperiksaan;

ii) Semua calon UPKK Tahun 2025 telah didaftarkan dan diberikan nombor giliran melalui SIMPENI sebelum pelaksanaan ujian lisan;
 
iii) Ujian Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) telah selesai dilaksanakan antara 7 April hingga 12 September 2025, manakala ujian lisan al-Quran (UPKK01) telah dijalankan antara 22 September hingga 17 Oktober 2025. Markah bagi kedua-dua komponen ini telah dikumpulkan di peringkat daerah oleh Setiausaha Peperiksaan (SuP);dan

iv) Ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November 2025, dan semua kertas peperiksaan telah diedarkan ke seluruh negeri berdasarkan bilangan calon serta pusat peperiksaan yang berdaftar.

7. Dalam pertemuan yang dijalankan, pihak sekolah turut diberi maklum bahawa perakuan pendaftaran hanya boleh diberikan sekiranya tiga (3) sokongan agensi berkaitan telah dipenuhi, sebagaimana digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) serta tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001). Justeru, pihak sekolah disarankan untuk segera mendapatkan kelulusan daripada ketiga-tiga agensi sokongan berkenaan kerana operasi tanpa pendaftaran sah adalah tidak dibenarkan. Pada masa yang sama, JAKIM dan JAIS turut menasihatkan pihak sekolah, agar mempertimbangkan langkah memindahkan murid-murid yang terlibat ke sekolah-sekolah yang berdaftar di bawah pihak berkuasa agama negeri, di samping mengambil langkah mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi tujuan peperiksaan UPKK.

8. Pihak sekolah telah diminta agar meneliti semula semua keperluan dan tatacara pendaftaran supaya perkara seumpama ini tidak berulang. Dalam masa yang sama, JAKIM bersedia memberikan panduan dan khidmat nasihat kepada pihak sekolah bagi memastikan semua institusi pendidikan Islam swasta dapat beroperasi mengikut saluran yang sah dan berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

9. JAKIM sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pelaksanaan peperiksaan UPKK perlu dijalankan dengan tertib, berintegriti dan adil kepada semua calon di seluruh negara. Justeru, segala prosedur dan ketetapan rasmi perlu dipatuhi bagi memastikan kelancaran serta keseragaman pelaksanaan peperiksaan di seluruh negara.

10. JAKIM turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif dalam memastikan sekolah tempat anak-anak menimba ilmu berdaftar secara rasmi dengan pihak berautoriti agama negeri. Pendaftaran rasmi bukan sahaja memastikan kelancaran urusan peperiksaan, tetapi turut menjamin kualiti pendidikan, kebajikan murid, serta pengiktirafan sah terhadap sijil dan keputusan peperiksaan.

11. Orang ramai disarankan menyemak kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum dikongsi agar tidak timbul salah faham yang boleh menjejaskan imej institusi agama. JAKIM akan terus komited memperkukuh kerjasama dengan semua agensi agama negeri bagi memastikan setiap anak-anak Islam di negara ini mendapat pendidikan agama yang berkualiti, tersusun dan diiktiraf, selaras dengan aspirasi Pendidikan Islam MADANI.

Sekian, terima kasih.


DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
5 NOVEMBER 2025M / 14 JAMADILAWAL 1447H