
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
MAJLIS PENYERAHAN PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI (KAM) DAN SEKOLAH ANGKAT MADANI (SAM) DI KAMPUNG MENORA, KUALA KANGSAR PERAK
Bil. 54/2025
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula hari ini hingga 21 Disember 2025 menganjurkan Majlis Penyerahan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) serta Jelajah Peduli Ummah di Kampung Menora, Kuala Kangsar, Perak sebagai acara kemuncak kepada pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM).
2. Majlis ini dianjurkan sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI melalui pendekatan ‘whole of government’ dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa, di samping memperkasa kesejahteraan komuniti secara menyeluruh serta membuktikan komitmen JAKIM dalam memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada kesejahteraan penduduk luar bandar.
3. Di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2025 ini, JAKIM telah memilih Kampung Menora sebagai lokasi tumpuan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan, merangkumi projek fizikal bernilai RM900,000 dan program bukan fizikal berjumlah RM100,000. Skop projek ini memberi tumpuan kepada penaiktarafan infrastruktur asas, kemudahan awam serta pelaksanaan program pembangunan sosial dan kerohanian komuniti setempat.
4. Antara projek fizikal utama yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemasangan lampu solar jalan di Kampung Menora, menaik taraf Masjid al-Munariah, penyelenggaraan dan naik taraf jalan perhubungan desa, penaiktarafan dewan komuniti, serta pembangunan projek ekonomi komuniti seperti ternakan lebah kelulut. Usaha ini bertujuan memastikan kemudahan asas kampung berada pada tahap yang selamat, selesa dan mampan untuk manfaat jangka panjang penduduk setempat.
5. Sebagai pelengkap kepada usaha pembangunan komuniti, JAKIM turut melaksanakan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) dengan peruntukan RM100,000 bagi setiap sekolah melibatkan Sekolah Kebangsaan Menora dan Sekolah Kebangsaan Sayong. Tumpuan inisiatif ini merangkumi penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan sekolah, pendigitalan pengajaran dan pembelajaran, pembelian peralatan pintar, program kokurikulum, pembangunan sahsiah murid serta pengukuhan hubungan sekolah dengan komuniti dan keluarga. Inisiatif ini bertujuan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik, menyerlahkan pendidikan holistik, serta meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.
6. Majlis perasmian penyerahan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI akan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimie, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pada 20 Disember 2025. Majlis ini turut diserikan dengan sesi ‘walkabout’ ke tapak-tapak projek utama, penyerahan simbolik mercu tanda KAM dan SAM serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan penduduk kampung dan warga sekolah.
7. Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian berteraskan kesejahteraan MADANI akan dilaksanakan termasuk Jelajah Peduli Ummah dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), kenduri rakyat, forum perdana hal ehwal Islam, program khidmat masyarakat, kursus asas keagamaan, aktiviti sukan dan kekeluargaan, program ziarah kasih asnaf, serta pengisian pembangunan modal insan melibatkan elemen pendidikan, kerohanian, ekonomi dan sosial. Keseluruhan pengisian ini dirangka bagi memupuk semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan kepedulian sosial dalam kalangan masyarakat setempat.
8. Penganjuran Majlis Penyerahan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI ini menzahirkan komitmen berterusan JAKIM dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI dengan memastikan hasil pembangunan benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi. Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah membina daya tahan komuniti, memperkukuh nilai keinsanan dan keagamaan, serta membuka ruang peluang sosioekonomi yang inklusif demi menjamin kesejahteraan hidup rakyat secara adil, mampan dan berterusan selaras dengan matlamat Malaysia MADANI.
Sekian, terima kasih.
DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
19 DISEMBER 2025M / 28 JAMADILAKHIR 1447H
