
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
SUSULAN PENGUMUMAN PRODUK MAKANAN LA PASTA CARBONARA FLAVOUR PASTA AND SAUCE
Bil. 01/2026
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin merujuk kepada pengumuman rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam bertarikh 10 Syaaban 1447 bersamaan 29 Januari 2026 berhubung penemuan DNA khinzir dalam produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce keluaran San Remo Macaroni Co. Pty Ltd 4 Boden Court Windsor Gardens SA, 5087, Australia.
2. Ingin ditegaskan bahawa produk berkenaan tidak pernah dipersijilkan halal oleh Jabatan ini. Semakan di laman sesawang rasmi San Remo Malaysia (www.sanremo.my) turut mendapati bahawa produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce tidak dipasarkan di Malaysia. Produk berkenaan juga tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh JAKIM pada label pembungkusannya.
3. JAKIM akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk tersebut.
4. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memilih produk yang dipersijilkan halal oleh JAKIM atau badan pensijilan Halal luar Negara yang diiktiraf. Amalkan sikap berhati-hati dalam memilih produk seumpamanya dengan menyemak label dan kandungan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.
5. Sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak halal, orang ramai diminta untuk membuat laporan segera kepada pihak berkuasa yang berwibawa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Sekian, terima kasih.DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
31 JANUARI 2026M / 12 SYAABAN 1447H
