jata negara small
  

SIARAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PENGANJURAN MUZAKARAH PANEL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA 2026

12 NOVEMBER 2026 / 2 JAMADILAKHIR 1448
 
 
1.    Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menganjurkan Muzakarah Panel Pengesahan Halal Malaysia 2026 di Dewan Saksama, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Wilayah Persekutuan Putrajaya. Muzakarah tahunan ini menjadi medium utama memperkukuh kompetensi dan memperluas pengetahuan ahli Panel Pengesahan Halal Malaysia dari seluruh negara melalui perkongsian kepakaran, pengalaman serta perkembangan semasa dalam bidang pensijilan halal. Usaha ini penting bagi memperkaya perspektif ahli panel dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan pertimbangan Pensijilan Halal Malaysia.
 
2.   Muzakarah kali ini mengangkat tema “Sinergi Syariah dan Inovasi: Memperkasa Integriti Halal Mendepani Evolusi Industri”. Pemilihan tema ini bertepatan dengan perkembangan teknologi, kaedah pengeluaran dan amalan industri yang semakin dinamik serta memberi implikasi terhadap penilaian halal. Justeru, pengisian muzakarah turut memberi penekanan kepada penerapan prinsip syariah dalam menilai perkembangan sains dan teknologi bagi memastikan integriti serta kredibiliti Pensijilan Halal Malaysia terus terpelihara.
 
3.   Pengisian muzakarah merangkumi perbincangan berkaitan hala tuju Pensijilan Halal Malaysia, aspek syariah dan teknikal dalam penilaian halal, isu-isu semasa berkaitan halal serta pengukuhan tadbir urus dan pembangunan skim pensijilan baharu.
 
4.   Semoga muzakarah ini dapat terus menjadi wadah perkongsian ilmu dan pemantapan kompetensi ahli Panel Pengesahan Halal Malaysia, khususnya dalam memperkaya pengetahuan dan perspektif berkaitan prinsip syariah, keperluan teknikal serta perkembangan semasa industri halal. Usaha berterusan ini penting dalam memelihara integriti sistem pensijilan halal negara, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat melalui perlindungan kepentingan pengguna dan peningkatan keyakinan terhadap pengesahan status halal produk serta perkhidmatan yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
 
 
Sekian, terima kasih.
 
 
DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA