Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 15 Mei 2018- SEDAR atau tidak, kita sebenarnya kerap menggunakan bahasa Arab dalam kehidupan sehari-hari. Cuma kita sahaja yang tidak perasan.  Lafaz salam Assalamualaikum dan dijawab Walaikumsalam, lafaz syukur Alhamdulillah, bacaan-bacaan dalam solat, waima berdoa seusai solat fardu dan sunat, semuanya adalah di dalam bahasa Arab.

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Kluster Pendidikan dan Pengajian Bahasa menganjurkan Kursus Terjemahan Bahasa Arab di bawah Pelan Operasi Latihan (POL) kepada Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan JAKIM.  Kursus yang berlangsung selama 2 hari melibatkan seramai 18 orang pegawai dan bermatlamat memberi pendedahan kepada peserta mendalami konsep dan teknik terjemahan yang komprehensif, terkini dan profesional dan memberi kefahaman tentang penggunaan sebenar bahasa dalam bidang penterjemahan

Kursus ini menampilkan penceramah-penceramah berpengalaman yang merupakan para pensyarah dari Jabatan Bahasa Arab, Institut Pendidikan Guru, Kampus Bangi iaitu Ustaz Husaini Kasran, Dr. Mat Nawi Mat Jusoh, Ustaz Badrul Hisyam Mohd Yasin dan Ustaz Masrur Ibrahim.

Penganjuran kursus ini juga menguatkan hakikat yang bahawa semua umat perlu memahami dan mempelajarai bahasa Arab bagi memahami al-Quran, hadis, penguasaan ilmu, sekaligus sebagai bukti kecintaan kita kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan agama Islam.  Mahir dengan penguasaan kosa kata Bahasa Arab akan memudahkan lagi aktiviti penterjemahan Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu.

Diharapkan agar program ini menjadi wadah yang dapat menanamkan kefahaman yang betul mengenai pertukaran bahasa dan terminologi yang digunakan supaya aktiviti penterjemahan dapat dijalankan dengan tepat dan bermutu.

terjemahanBA1