TEMERLOH, PAHANG (18 - 19 JULAI 2020) - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan Masjid Temerloh Jaya telah menganjurkan Program Santuni Komuniti Masyarakat Sejahtera. Program ini telah dihadiri seramai 250 orang peserta yang menyasarkan masyarakat setempat Temerloh, Pahang yang terdiri daripada golongan wanita, belia dan anak-anak muda. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari dalam dan luar kawasan Temerloh, Pahang.
Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya mengikut standard of procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Masjid Temerloh Jaya.
Perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Syed Ibrahim Bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang dengan diiringi oleh Tuan Aziz bin Haji Mohamad, Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah Jakim dan Tuan Haji Zakaria Bin Mohamad, Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang.
Program yang dirancang ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengahyatan Islam dalam kalangan komuniti setempat. Di samping itu, ia bertujuan untuk mengeratkan jaringan komunikasi antara masyarakat setempat dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk saling berhubung dan berkongsi maklumat demi kesejahteraan bersama melalui pendekatan yang lebih padu dan berkesan. Pengisian dan aktiviti yang mengetengahkan konsep dakwah seperti ini akan dijadikan satu platform untuk meningkatkan bukan sahaja ilmu dan kefahaman malah memupuk kesejahteraan masyarakat selaras dengan fungsi Bahagian yang bertanggungjawab melaksanakan kegiatan dakwah di peringkat pusat.