Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 29 Julai 2021 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Program Bicara Nikah Cerai Dan Rujuk (Siri 1) Secara Dalam Talian pada 28 Julai 2021 melalui platform Google Meet. Program ini telah mencapai kehadiran seramai 125 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam (PHEI) JAKIM, JAIN, MAIN, agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pelbagai agensi kerajaan.

Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan kefahaman kepada peserta berkaitan pengurusan nikah cerai dan rujuk yang sistematik dan berkesan. Sehubungan dengan itu, penceramah program, Ustazah Khairuljannah binti Abdullah, Ketua Bahagian Pembangunan Keluarga / Ketua Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk daripada Jabatan Agama Islam Melaka, telah mengupas tajuk Pengurusan dan Bidangkuasa Nikah Cerai dan Rujuk dengan merujuk kepada Modul Rundingcara Kekeluargaan Islam dan Modul Syariah dan Kehakiman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Menerusi perkongsian ilmu dalam program Bicara Nikah Cerai dan Rujuk ini, beberapa hal pengurusan pernikahan seperti pernikahan luar negara, ketiadaan wali, serta isu-isu yang bersalahan dengan hukum syarak dan undang-undang seperti pernikahan tanpa kebenaran, nikah sendiket dan poligami tanpa kebenaran juga dibahaskan bagi memberi pendedahan dan memberi jalan penyelesaian yang baik dan berkesan. Semoga program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan nikah cerai dan rujuk serta berupaya menyelesaikan permasalahan kekeluargaan dengan baik.

Program Bicara Nikah Cerai Dan Rujuk Siri 1 Secara Dalam Talian 1

Sumber berita dari https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/836-program-bicara-nikah-cerai-dan-rujuk-siri-1-secara-dalam-talian