Kurator Berita : Bahagian Dakwah
PUTRAJAYA, 28 Mac 2024: Bahagian Dakwah JAKIM melalui Cawangan Dakwah Bil Hal telah berjaya menganjurkan Program Tadarus Perdana Al-Qawiyyul Amin  “Al-Quran Melestarikan Kepimpinan Belia Al-Falah” bersempena Nuzul Quran 1445H, pada 28 Mac 2024 bersamaan 17 Ramadan 1445H (Khamis) bertempat di Masjid Putra, Putrajaya.

Pengisian program dimulai dengan bacaan alunan al-Quran pada jam 2.00 petang oleh Johan Qari Peringkat Antarabangsa iaitu Ustaz Ahmad Tirmizi bin Ali. Beliau juga merupakan ahli panel forum yang bergandingan bersama Ustazah Nazirah binti Abu Bakar, Pegawai JAKIM. Forum Bicara Quran telah diterajui oleh Ustaz Norzaidan bin Haji Hamad selaku moderator dengan pengisian mengikut tema “Al-Quran Melestarikan Kepimpinan Belia Al-Falah”.
Program diteruskan dengan majlis tadarus al-Quran yang telah disertai oleh pelajar IPTA dan IPTS sekitar Lembah Klang dengan jumlah penyertaan seramai 200 orang. Majlis tadarus al-Quran telah dibimbing oleh para pelajar daripada Darul Quran, Kuala Kubu Bahru yang telah membimbing 30 kumpulan tadarus al-Quran.  Majlis khatam al-Quran bermula jam 5.00 petang dan diikuti dengan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh YBhg. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM. Majlis perasmian program turut dihadiri oleh YBrs. Ustaz Abdul Karim bin Zakaria, memangku Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya dan Ustazah Mastura binti Mohamed Tahir selaku Penyelaras Program. Program berakhir dengan peserta menyertai Majlis Iftar Madani (MIM) di Masjid Putra, Putrajaya.

Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan penghayatan dan pembudayaan bacaan al-Quran dalam kehidupan seharian agar dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Selain itu juga, diharap para peserta dapat mendalami dan memahami isi kandungan al-Quran serta mengamalkan ajaran yang terkandung dalamnya sebagai panduan dalam kehidupan.

Program Tadarus Perdana Al Qawiyyul Amin 01

Program Tadarus Perdana Al Qawiyyul Amin 02

Program Tadarus Perdana Al Qawiyyul Amin 03



Program Tadarus Perdana Al Qawiyyul Amin 04

Program Tadarus Perdana Al Qawiyyul Amin 05

Program Tadarus Perdana Al Qawiyyul Amin 06

Program Tadarus Perdana Al Qawiyyul Amin 07