Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Butterworth, 4 Dis 2021- Telah berlangsung dengan jayanya Majlis Pemukiman Takmir Zon Utara iaitu terdiri Pegawai Penyelaras Takmir Negeri, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan Pembantu Takmir dari Negeri Perak , Pulau Pinang , Kedah dan Perlis bersama Yang Berhormat Senator Tuan Haji Idris Bin Ahmad Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ) di Dewan Restoran Pen Mutiara Butterworth Pulau Pinang.

Penganjuran pemukiman ini diurusetiakan oleh Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Negeri Perak dengan kerjasama Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.Objektif utama pemukiman ini ialah berta’aruf dan pertemuan pertama wakga takmir khasnya di zon utara bagi mengambil amanat oleh YB Menteri Agama.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ybhg Dato' Haji Mohd Yusop Bin Husin Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Antara intipati ucapannya menyentuh tentang pemerkasaan program pengimarahan takmir masjid dan surau negeri Perak yang telah berjaya menghasilkan Buku Modul Pengajian Takmir dan Kod Etika Guru Takmir yang pertama di Malaysia. Modul dan kod etika ini turut mendapat perkenan dan dilancarkan oleh DYMM Sultan Perak pada tahun 2017. Beliau juga turut menyentuh tentang bidang tugas Pegawai Penyelaras Takmir Negeri yang boleh diperluas bagi menyelaras kader-kader JAKIM di pelbagai agensi negeri-negeri. Gerak kerja PPMD pula yang semakin luas dan mencabar namun mereka telah menunjukkan kecemerlangan mampu melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan. Beliau memohon agar kebajikan PPMD dapat dilihat sama ada ditetapkan atau dinaikkan gred.

Majlis diteruskan dengan ucapan dan amanat YB Senator Tuan Haji Idris Bin Ahmad Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ). Dalam amanatnya menyebut inisiatif MANTAP dalam ucapan sulungnya dan menekankan pemantapan institusi masjid dan surau. Justeru itu, beliau mengharapkan agar institusi berkuasa Agama negeri bersama Guru Takmir memainkan peranan mengembleng tenaga memperkasakan usaha dakwah kepada masyarakat dengan pelbagai cabaran aliran pemikiran dan anasir dakyah pada masa kini. YB Menteri turut mengumumkan akan berusaha menjaga kebajikan PPMD kader JAKIM serta lain-lain dari semasa ke semasa.

Turut sama hadir memeriahkan majlis pemukiman ini, Ybhg Tuan Haji Ruslan Bin Said Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM dan Ybhg Ustaz Kamarul Saman Bin Yaacob Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pengurusan Masjid Bahagian Dakwah JAKIM. Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cedera kenangan dan Tn Hj Muhammad Imran bin Hj Ibrahim Pegawai Penyelaras Kanan Takmir Negeri Perak mewakili Zon Utara menyerahkan 5 naskhah buku Fiqh Al-Mizan dari Prof Dr Syeikh Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulamak Sedunia dan pendokong utama bagi Program Perkaderan Fuqahak Zon Utara kepada YB Menteri. Kemudian diikuti sesi fotografi bersama hadirin.

Pemukiman Takmir Zon Utara Bersama Menteri 7

Pemukiman Takmir Zon Utara Bersama Menteri 1

Pemukiman Takmir Zon Utara Bersama Menteri 2

Pemukiman Takmir Zon Utara Bersama Menteri 3

Pemukiman Takmir Zon Utara Bersama Menteri 4

Pemukiman Takmir Zon Utara Bersama Menteri 5

Pemukiman Takmir Zon Utara Bersama Menteri 6

Laporan :
PPMDHP