Kurator Berita : Bahagian Dakwah
10 Februari 2022 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta Yayasan Islam Terengganu telah berjaya mengadakan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022. Multaqa ini telah berlangsung pada 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H, di Masjid Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Seramai lebih 500 orang yang terdiri daripada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD), Guru KAFA, dan Pengetua/Mudir Institusi Tahfiz & Pondok dari seluruh daerah di negeri Terengganu telah menghadiri program ini.

Bemula seawal jam 9:00 pagi, para peserta mendapat perkongsian ilmu daripada YBhg.Dato’ Dr.Zulkifly bin Haji Muda, Mantan Mufti Negeri Terengganu. Slot Kalam Murabbi itu bertajuk (Dakwah Tradisional vs Dakwah Kontemporari) dengan kupasan yang amat menarik dan berkesan.

Acara perasmian multaqa telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Yang Mulia Engku Omar Amiruddin bin Engku Ali iaitu Imam Besar Masjid Negeri Terengganu. Multaqa diteruskan lagi dengan ucapan aluan oleh YB Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu yang mewakili Menteri Besar Negeri Terengganu. Multaqa Murabbi Ummah Peringkat negeri ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Program berakhir dengan Majlis Peyampaian Surat Lantikan Guru Takmir Tahun 2022 dan Majlis Penyampaian Cek Cura Peruntukan Kewangan Imam, Bilal, Guru Takmir Dan Guru Kafa Negeri Terengganu Tahun 2022. Turut hadir bersama multaqa ini Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Pesuruhjaya JHEAT, Haji M.Rozi bin Bidin, Adun Sebarang Takir, Dato' Seri Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman serta Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Haji Ruslan bin Said.

Multaqa Murabbi Ummah Terengganu 2022 1

Multaqa Murabbi Ummah Terengganu 2022 2

Multaqa Murabbi Ummah Terengganu 2022 3

Multaqa Murabbi Ummah Terengganu 2022 4

Multaqa Murabbi Ummah Terengganu 2022 5