Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
Bahagian Penyelidikan JAKIM melalui cawangan Kajian Al-Quran dan Al-Hadith telah berjaya mengadakan Bengkel Takhrij Hadith bermula 21 sehingga 22 Februari yang lalu. Bengkel ini telah disampaikan oleh dua orang Panel Pemikir Hadith Pusat Penyelidikan Hadith JAKIM dan juga merupakan pensyarah universiti tempatan iaitu YBrs. Dr. Mohd. Khafid bin Soroni daripada Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi bin Azmi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bengkel selama 2 hari ini diadakan khusus kepada para pegawai dari Bahagian Penyelidikan untuk memberi tambah nilai ilmu berkaitan takhrij hadith. Selain daripada diberi perkongsian kaedah carian hadith secara tepat dan pantas secara online serta menggunakan perisian dan aplikasi, peserta juga diberikan pendedahan dalam menangani isu-isu yang hadith yang sering menjadi polimik dalam masyarakat seperti kedudukan dan peranan hadith dhaif, isu golongan anti hadith serta kesalahfahaman hadith yang digunakan untuk kepentingan tertentu yang akhirnya menyeleweng daripada kehendak sebenar nas ilahi.

Antara kesimpulan hasil bengkel yang telah diadakan adalah seperti berikut:
  1. Kepentingan sesuatu hadith itu difahami daripada sumber yang muktabar dan daripada pihak yang berautoriti.
  2. Kepentingan memahami status dan fiqh hadith dalam menentukan kesahihan dan tujuan sesuatu hadith direkodkan dalam kitab-kitab hadith.
  3. Kepentingan memberikan maklumat dan penjelasan yang tuntas berkaitan hadith kepada masyarakat dalam pelbagai medium.


Bengkel Takhrij Hadith 1

Bengkel Takhrij Hadith 2

Bengkel Takhrij Hadith 3