Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 17 Februari - Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah mengadakan Kursus Tahsin Qiraah Al-Qur’an secara dalam talian.

Kursus ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 15 hingga 17 Februari 2022 bersamaan 14 hingga 16 Rejab 1443, jam 8.30 pagi sehingga 1.00 tengah hari. Objektif kursus ini ialah untuk:
  1. Memberi pendedahan ilmu menguasai kemahiran tilawah Al-Qur’an menurut riwayat Hafs ‘an ‘Asim.
  2. Meningkatkan kualiti bacaan Al-Qur’an.
  3. Mengembalikan kesedaran akan kepentingan muraja’ah terhadap bacaan Al-Qur’an.

Seramai 87 orang peserta telah menghadiri kursus ini menerusi platform Google Meet. Peserta terdiri daripada pegawai-pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, Kader JAKIM, Pegawai Agensi di bawah YB Menteri di JPM, MAIN dan JAIN serta penjawat awam dan terbuka.

Kursus ini telah mengupas (6) enam slot utama iaitu Maqasid Ilmu Tajwid dan Kepentingannya Terhadap Bacaan Al-Qur’an, Jenis-jenis Kesalahan dalam Bacaan Al-Quran, Kaedah-kaedah yang berkesan untuk Tahsin Al-Qur’an, Manhaj memahami bacaan Al-Qur’an, Bacaan Al-Qur’an; Talaqi dan Musyafahah serta Ujian dan Penilaian Tilawah Al-Quran.

Penceramah yang dijemput di dalam kursus ini ialah Ustaz Hasan Al-Fadhli bin Abdul Rahman, Imam Masjid Negara, Kuala Lumpur; dan Ustaz Zainuddin Ab Rahman Al-Qari, Guru Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah, Serdang, Selangor Darul Ehsan.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini, diharap dapat memberikan manfaat yang besar kepada peserta dalam meningkatkan pengetahuan berkaitan Tahsin Al-Qur’an dan peningkatan kemahiran bacaan Al-Qur’an mengikut Hafs ‘An ‘Asim.

tahsin quran