Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 30 Mac – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Kursus Kompetensi Fungsian Khusus Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S44 Akidah Dan Pemikiran Islam selama tiga (3) hari iaitu bermula tarikh 29–31 Mac 2022 bersamaan 26–28 Syaaban 1443H. Kursus ini dilaksanakan secara bersemuka bertempat di Bilik Kadir Al-Jailani Blok Akademik A, ILIM Kampus Utama, Bangi Selangor. Seramai 25 orang peserta telah hadir mengikuti kursus ini yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam S44 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), dan Agensi-agensi di bawah YB di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.

Kursus ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Selain itu, kursus ini mendedahkan bentuk ancaman aliran yang menyalahi Ahli as-Sunah wal- Jamaah di samping melahirkan peserta yang berkemahiran dan mampu menjawab isu-isu semasa berkaitan akidah dan pemikiran Islam di Malaysia. Perkongsian sebanyak lapan (8) slot telah dibincangkan sepanjang kursus antaranya ialah Pengertian akidah, ciri-ciri, sumber dan kesannya dalam kehidupan, Perkembangan Pemikiran Islam Zaman Awal dan Kontemporari dan Ancaman syiah dan ajaran salah di Malaysia.

Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah mendapat kerjasama daripada empat penceramah yang pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali, Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Wan Haslan bin Khairuddin, Pensyarah Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Arifin bin Ismail sebagai penceramah bebas dan juga mantan panel pemikir Islam dan isu semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Dr Wan Adli bin Wan Ramli, Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam (UM) yang turut berkongsi berkaitan ancaman syiah dan ajaran salah di Malaysia.

Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan kepada peserta mengenai akidah ahli as-sunnah wal jamaah dan dapat meningkatkan peguasaan bidang ilmu akidah dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam.

Kursus Kompetensi Fungsian Khusus S44 Akidah Dan Pemikiran Islam 1


Sumber berita dari Laman Web ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/961-kursus-kompetensi-fungsian-khusus-pegawai-hal-ehwal-islam-gred-s44-akidah-dan-pemikiran-islam