Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 31 Mac - – Penganjuran Bicara Tokoh pada kali ini telah menampilkan YBhg Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, seorang tokoh yang cukup berwibawa untuk membicarakan topik mengenai peranan modal insan al- qawiyy al amin sebagai pemangkin kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam.

Program ini telah dihadiri oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Persekutuan dan Negeri serta Ketua-ketua agensi di bawah YB Menteri di JPM.

Dalam ucapan aluan YBrs. Tuan Aminudin bin Mohamad, Pengarah Kanan ILIM, beliau turut menyatakan kepentingan modal insan itu yang bertindak sebagai daya penggerak transformasi dalam sesebuah organisasi. Bagi mencapai matlamat ini, Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Modal Insan JAKIM 2021 hingga 2025 dan juga Pelan Latihan @ Training Road Map JAKIM 2020-2025 menjadi rujukan dan panduan latihan dalam pengurusan pembangunan modal insan JAKIM secara komprehensif.

Dalam program ini, YBhg. Tan Sri juga turut berkongsi beberapa tips yang menarik yang boleh dijadikan sebagai inspirasi khususnya bagi meningkatkan pengurusan tadbir urus skim perkhidmatan hal ehwal Islam. Antaranya ialah lakukan sesuatu perkara itu dengan niat mencari redha Allah, bijak mengurus masa, beri semangat kepada diri untuk tidak berputus asa, dalam erti kata rebah sekali, bangkit berkali-kali, saling berganding bahu melaksanakan segala urusan, sentiasa bersama dengan para ilmuan dalam usaha untuk mendapatkan ilmu dan juga mempertingkatkan kemahiran.

Penyertaan dari pelbagai jabatan dan agensi ini turut melahirkan keterujaan mereka terhadap idea, pandangan, input dan pengalaman yang amat berguna untuk diaplikasikan dalam rutin tugasan terutama dalam kalangan agamawan yang memikul tanggungjawab yang amat besar terhadap masa depan dan hala tuju perkhidmatan hal ehwal Islam.

Mantapkan Pengurusan Hal Ehwal Islam Melalui Ciri Al Qawiyy Dan Al Amin 1