Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
27 April 2022 : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mengadakan lawatan kerja bagi melihat perkembangan Perkhidmatan Penjagaan Spiritual yang sedang dilaksanakan secara rintis di Hospital Sungai Buloh yang telah bermula sejak Februari 2022 sehingga Julai 2022. Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM. Hadir sama menyertai sesi lawatan adalah Tuan Haji Mohd Norizan Abd. Ghani, Pengarah Bahagian KSK, JAKIM dan pegawai-pegawai dari Bahagian KSK, JAKIM.

Bagi pihak Hospital Sungai Buloh yang diketuai oleh YBrs. Dr. Kuldip Kaur a/p Prem Singh, Pengarah Hospital Sungai Buloh dan Dr. Sahabuddin bin Ibrahim, Timbalan Pengarah (Perubatan) serta Encik Mohd. Rizal bin Abdullah, Timbalan Pengarah (Pengurusan), bersama-sama Ketua-ketua Jabatan serta Ketua Unit Spiritualiti dan Kesihatan, Hospital Sungai Buloh menyambut ketibaan delegasi JAKIM.

Pelaksanaan projek rintis ini adalah usaha awal JAKIM untuk menyediakan Perkhidmatan Penjagaan Spiritual di Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperkasakan lagi sistem kesihatan kebangsaan melalui penyempurnaan pendekatan Bio-Psiko-Sosio-Spiritual yang holistik. Perkhidmatan penjagaan spiritual ini menerapkan tiga perkhidmatan intergrasi yang terdiri daripada Kaunseling Syarie, Terapi Psikospiritual Islam dan Terapi Ilaj Syarie bagi membantu untuk memulihkan semangat dalaman (rohani) para kakitangan hospital dan juga pesakit supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sejahtera.

Taklimat berkaitan perkembangan pelaksanaan perkhidmatan ini telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Ahmad Fahmi bin Md. Sahray, Ketua Unit Spiritualiti dan Kesihatan, menjelaskan bahawa sepanjang tempoh 2 bulan ia dilaksanakan, maklum balas klien daripada keberhasilan sesi terapis menunjukkan sebanyak 100% klien berpuas hati terhadap perkhidmatan yang disediakan. Selesai taklimat, delegasi JAKIM dibawa melawat persekitaran tempat sesi terapis dijalankan. Lawatan diakhiri dengan penyerahan cenderahati daripada kedua-dua pihak.

Lawatan Kerja Penjagaan Spiritual Hospital Sungai Buloh 1

Lawatan Kerja Penjagaan Spiritual Hospital Sungai Buloh 2

Lawatan Kerja Penjagaan Spiritual Hospital Sungai Buloh 3

Lawatan Kerja Penjagaan Spiritual Hospital Sungai Buloh 4