Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
18- 19 Jun 2022 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Cawangan Takmir Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pertubuhan Kebajikan Arriqab dan Yayasan Amal Malaysia telah melaksanakan Bengkel TOT Modul Kerohanian dan Jati Diri (Komuniti Disayangi) dengan jayanya pada hari Sabtu dan Ahad, 18 dan 19 Jun 2022 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Guru Takmir Wilayah Persekutuan Ambilan 2022 yang ditempatkan untuk mengajar di pusat-pusat transit gelandangan, premis AADK dan JKM.

Ucapan pembukaan dimulakan oleh YBrs. Ustaz Shahril bin Mohamad selaku Pegawai Takmir Negeri Wilayah Persekutuan seterusnya majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh YBrs. Ustazah Nor Haliza binti Ali selaku Ketua Penolong Pengarah Bah. KSK JAKIM.

Sesi bengkel ini dibahagikan kepada tiga slot bermula dengan slot penerangan Modul Pengukuhan Akidah melalui Ustaz Meeftah bin Anuar, Modul Pengukuhan Ibadah oleh Ustaz Yahya Mahyudin bin Utoh Said dan Modul Pengukuhan Akhlak dan Jati Diri oleh Ustaz Mohd Firdauz bin Shurkan.

Pada sebelah petang, bengkel diteruskan lagi dengan slot Bual Bicara " Dia Juga Manusia Biasa" oleh Puan Akmar dari Pertubuhan Kebajikan Arriqab dan Ustaz Syafiq dari Yayasan Amal Malaysia untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada 30 orang peserta bengkel dalam memahami cara-cara mendekati dan seni berdakwah kepada komuniti yang terpinggir ini.

Hari kedua bengkel diisi dengan aktiviti lapangan untuk menyantuni gelandangan di Warung Makan Sahabat. Aktiviti memasak bersama para sukarelawan di samping borak santai dan tazkirah ringkas telah diadakan khusus untuk meraikan rakan-rakan jalanan sekitar warung tersebut.

Alhamdulillah, diharapkan bengkel ini dapat memberi pendedahan dan menambah kemahiran kepada para peserta untuk menyentuh mad'u dengan cara dakwah yang terbaik dalam menyampaikan ilmu-ilmu agama dan kehidupan.

TOT Modul Kerohanian Dan Jati Diri 1

TOT Modul Kerohanian Dan Jati Diri 2

TOT Modul Kerohanian Dan Jati Diri 3

TOT Modul Kerohanian Dan Jati Diri 4

TOT Modul Kerohanian Dan Jati Diri 5

TOT Modul Kerohanian Dan Jati Diri 6