Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
JELEBU, 17 APRIL 2022 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Jelebu, telah meneruskan fungsinya sebagai sebuah institusi penyebaran ilmu dengan pelaksanaan Kursus Sijil Tinggi Kaunseling Syarie dan Pengurusan Rundingcara Kekeluargaan Islam (Modul Tahap Asas). Kursus yang melibatkan 4 tahap ini dianjurkan secara bersama oleh ILIM Kampus Jelebu dan Bahagian Keluarga, Sosial, dan Komuniti (KSK) JAKIM. Kursus ini telah disertai oleh 23 orang peserta dari pelbagai negeri dan telah berlangsung dengan jayanya selama lima (5) hari bermula dari 13 – 17 Jun 2022.

Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran Perundingcara serta memberi pendedahan berkaitan kaunseling syarie dan pengurusan rundingcara kekeluargaan secara menyeluruh. Bahagian KSK telah menyediakan barisan penceramah berpengalaman luas di dalam bidang masing-masing yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Pendakwaan Syarie Negeri Sembilan (JPenSNS), Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sembilan (JPN) dan pensyarah dari Universiti Pergurusan Sultan Idris (UPSI).

Pelaksanaan kursus ini adalah secara bersemuka dan telah mendapat maklum balas yang positif dari kalangan peserta. Diharap agar penganjuran kursus ini dapat mencapai objektif yang ditetapkan serta memberi manfaat kepada peserta dalam melaksanakan tugasan harian berkaitan pengurusan hal ehwal rumahtangga.

Kursus Sijil Tinggi Kaunseling Syarie Dan Pengurusan Rundingcara Kekeluargaan Islam Modul Tahap Asas 1

Sumber berita daripada Laman Web ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1007-kursus-sijil-tinggi-kaunseling-syarie-dan-pengurusan-rundingcara-kekeluargaan-islam-modul-tahap-asas