Kurator Berita : Bahagian Dakwah
14 JUN 2022 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) telah berjaya mengadakan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022. Multaqa ini telah berlangsung pada 14 Jun 2022 bersamaan 14 Zulkaedah 1443H, di Dewan Astana, Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan Pahang.

Seramai lebih 500 orang peserta yang terdiri daripada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan Guru KAFA dari seluruh daerah di negeri Pahang telah menghadiri program ini.

Program bermula seawal 9.00 pagi dengan slot Forum Bicara Murabbi bertajuk “Keilmuan Berpaksikan Tauhid” menampilkan panel YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YH Dato’ Haji Zulkifle bin Haji Ali Al-Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang.

Acara perasmian multaqa telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Tuan Haji Mohd Rizzal bin Mohd Ali Nafiah iaitu Qadhi Daerah Kuantan. Multaqa diteruskan lagi dengan ucapan aluan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang ini telah disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YB Dato' Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang mewakili YAB Menteri Besar Pahang. Program berakhir dengan Majlis Penyampaian Cek Cura Peruntukan Kewangan Imam, Bilal, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Pahang Tahun 2022 berjumlah RM 60,444,142.80 dan Cek Cura Sumbangan Baikpulih Masjid dan Surau Akibat Banjir Negeri Pahang dari Yayasan Taqwa berjumlah RM 561,550.00. Turut hadir bersama multaqa ini YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBrs. Tuan Haji Ahmad Fuad bin Apandi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), JAKIM, YH Dato’ Haji Zulkifle bin Haji Ali Al-Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, YBhg. Dato' Haji Razali bin Haji Shahabudin, Pengerusi Yayasan Taqwa (MAIWP) dan Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa (MAIWP).

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 1

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 2

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 3

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 4

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 5

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 6