Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
KUALA TERENGGANU (4 JULAI 2022) – Dunia hari ini semakin kompleks dengan timbulnya isu-isu baharu, teknologi baharu yang berkait rapat dengan kehidupan seharian dan secara tidak langsung ia memerlukan kepada pandangan hukum dan fatwa dalam usaha untuk merungkai permasalahan agar dapat membimbing masyarakat serta dapat menunjukkan kesempurnaan Islam dalam segala aspek kehidupan manusia.

Sebagai contoh, ketika dunia dilanda badai penyakit baharu yang tidak pernah muncul sebelum ini iaitu Covid-19, pelbagai isu hukum timbul melibatkan agama dan nyawa umat Islam seperti hukum pengambilan vaksin, penjarakan saf solat, pengurusan jenazah Covid dan sebagainya amat memerlukan pelaksanaan serta hukum yang bersesuaian perlu diketengahkan. Oleh yang demikian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Penyelidikan dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Terengganu telah menganjurkan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri Terengganu 2022 dengan mengetengahkan tajuk Bank Susu: Keperluan & Hukum.

Isu bank susu ibu ini merupakan perkara baharu yang melibatkan hukum fiqh dan perlu diatur dan diselesaikan dengan bijaksana. Oleh itu, JAKIM mendatangkan pembentang-pembentang jemputan yang terlibat secara khusus dalam bidang perubatan serta bidang kefatwaan yang mampu untuk menjelaskan serta merungkai permasalahan orang awam agar kekeliruan serta kesamaran yang menyelubungi pemikiran selama ini dapat dirungkaikan serta dijernihkan yang akhirnya membuahkan benih kefahaman seterusnya melaksanakan tindakan yang selari dengan tuntutan Islam.

Seminar yang dianjurkan ini bertujuan untuk memberi pemahaman serta penerangan yang lebih inklusif berkenaan keperluan serta hukum yang digunapakai kepada orang awam berkaitan isu yang sering muncul di dada-dada akhbar berkaitan bank susu. Penganjuran seminar ini telah pun berjaya dilaksanakan dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu YB Tuan Haji Satiful Bahri bin Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu serta dimeriahkan lagi oleh kehadiran peserta jemputan dari pelbagai sektor kerajaan dan juga NGO.

Antara tajuk yang dibentangkan sempena penganjuran seminar bertempat di Hotel Permai, Kuala Terengganu ini antaranya ialah, Kajian Dan Pandangan Hukum Berkaitan Bank Susu (Pembentang – Puan Nor Safina binti Zainal), Pembangunan Bank Susu Patuh Syariah (Pembentang – Prof. Madya Dr. Normadiah binti Daud) dan Penubuhan Bank Susu Ibu: Satu Keperluan Masa Kini di Negara Muslim (Pembentang – Prof. Madya Dr. Nurjasmine Aida Jamani).

Majlis Perasmian telah diserikan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee dan disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Haji Satiful Bahari bin Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu.

Bank Susu Keperluan Hukum 1

Bank Susu Keperluan Hukum 2

Bank Susu Keperluan Hukum 3

Bank Susu Keperluan Hukum 4

Bank Susu Keperluan Hukum 5

Bank Susu Keperluan Hukum 6

Bank Susu Keperluan Hukum 7

Bank Susu Keperluan Hukum 8