Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini telah berjaya menganjurkan Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. YB Senator Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyempurnakan perasmian seminar tersebut sempena Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022. Pelaksanaan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah Tahun 2022 anjuran JAKIM selama 5 hari bermula hari ini sehingga 22 Julai 2022. Turut hadir dalam majlis tersebutDato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail Pengarah JAWI dan juga Tuan Ahmad Husaini bin Mustafa, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, JAKIM.

Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Syariah pada hari ini berjaya membicarakan mengenai topik yang sangat relevan dengan keadaan semasa iaitu jenayah arak dan judi daripada perspektif perundangan syariah dan sivil. Seramai 500 orang peserta telah hadir memenuhi Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan. Mereka terdiri daripada pegawai dan kakitangan JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), kementerian/agensi sekitar Putrajaya, Pertubuhan-Pertubuhan Islam, ahli jawatankuasa masjid serta surau, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan mahasiswa mahasiswi daripada institut pengajian tinggi awam/swasta.

Antara objektif penganjuran seminar ini ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepelbagaian aliran pemikiran dan kefahaman masa kini yang tidak selari dengan Islam dan isu-isu yang berkaitan dengannya serta membicarakan secara mendalam isu-isu dan teknik pencegahan jenayah yang berkaitan kesalahan-kesalahan jenayah syariah serta memperkukuhkan pemahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai pegangan ummah Islam di Malaysia.

Selain seminar dan pameran pada hari ini, terdapat beberapa program lagi yang akan berlangsung sepanjang minggu Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 termasuk Kursus Kemahiran Menjadi Saksi di Mahkamah Syariah oleh ILIM Bangi; operasi judi bersama Bahagian Penguatkuasaan JAWI, RTD mengenai Hudud, Qisas dan Diyat, khutbah Jumaat di masjid-masjid utama dan siaran artikel mengenai usaha-usaha pencegahan jenayah di akhbar.

YB Menteri juga menegaskan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali-kali tidak akan berkompromi dengan apa-apa kejadian yang menghina kesucian agama Islam, menghina al-quran, menghina Rasulullah SAW dan seumpamanya. Jika ianya berlaku di Wilayah-Wilayah Persekutuan, saya minta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil langkah tegas membuka kertas siasatan untuk tujuan di bawa ke Mahkamah Syariah.

Seminar Pencegahan Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 1

Seminar Pencegahan Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 2

Seminar Pencegahan Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 3

Seminar Pencegahan Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 4

Seminar Pencegahan Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 5