Kurator Berita : Darul Quran
19 Julai 2022 – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary telah merasmikan Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 dan Ekspo sempena Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Kali Ke-30. Seramai 747 peserta dari sembilan kontinjen yang mewakili Darul Quran serta institusi-institusi tahfiz al-Quran negeri yang mengadakan kerjasama akademik dengan Darul Quran dalam melaksanakan Program Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat akan bertanding dalam kejohanan ini.

Sebanyak 19 acara dipertandingkan dalam kejohanan kali ini yang meliputi acara-acara ”Pertandingan Ilmiah” dan ”Kejohanan Sukan” dengan bertemakan “Generasi Al-Quran Peneraju Keluarga Malaysia”. Acara-acara bagi kategori ”Pertandingan Ilmiah” adalah seperti Tilawah al-Quran Berqiraat, Hafazan al-Quran, Debat Ala Parlimen, pidato, nasyid dan khat. Manakala bagi kategori ”Kejohanan Sukan” pula acara-acara yang dipertandingkan adalah seperti bola sepak, bola jaring, sepak takraw, badminton, bola tampar, ping pong dan futsal. Kesemua pertandingan ini diadakan di kompleks Darul Quran JAKIM, sekitar Kuala Kubu Bharu serta di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bersempena dengan ekspo tahun ini juga, Darul Quran dengan kerjasama beberapa agensi turut membuka Booth Charity & Tabung Musaadah JAKIM Yayasan Waqaf Malaysia untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan. YB Datuk Ahmad Marzuk telah merasmikan penyampaian sumbangan kepada para penerima.

Selain Ihtifal Huffaz dan Booth Charity, pelbagai lagi acara menarik telah diadakan bagi memeriahkan lagi ekspo tahun ini seperti booth-booth pameran, gerai-gerai jualan, program Lailatul Quran, Malam Kesenian Islam, pertandingan memancing terbuka, aktiviti berkayak, memanah dan lain-lain lagi.

Ihtifal Huffaz Dan Ekspo DQ 2022 Dirasmi

Sumber berita : https://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=607