Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 22 Julai - Sebanyak tiga kes jenayah syariah telah dibicarakan di Mahkamah Simulasi, Moot Court ILIM, Kampus Utama, Bangi. Kes-kes tersebut adalah kes berkaitan kesalahan judi, arak dan khalwat. Yang Arif Hakim Bicara dalam sesi simulasi ini ialah Tuan Atras Mohd Zin, daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, sementara Pendakwa ialah Tuan Sara Waheeda Tuan Dir, daripada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Peguambela iaitu Tuan Shafezan Rusli daripada Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang. Mereka inilah merupakan pembimbing utama yang melatih peserta-peserta Kursus Kemahiran Menjadi Saksi di Mahkamah Syariah pada kali ini.

Kursus yang berlangsung selama 3 hari bermula 20 hingga 22 Julai 2022, bertempat di ILIM, Kampus Utama, Bangi ini dirangka untuk meningkatkan kefahaman serta kemahiran peserta tentang tanggungjawab dan peranan sebagai saksi yang akan memberikan keterangan di Mahkamah Syariah. Peranan Pegawai Penguatkuasa Agama sebagai saksi di Mahkamah adalah sangat penting supaya pengadilan dapat dibuat dengan baik dan betul.

Seramai 33 orang peserta kursus dalam kalangan Pegawai Penguatkuasa Agama daripada Jabatan Agama Islam negeri di seluruh Malaysia telah menghadiri kursus ini. Komitmen dan kesungguhan yang diberikan oleh peserta bersama penceramah dan fasilitator telah menjadikan kursus ini lebih menarik.

Semoga kursus ini dapat dijadikan sebagai salah satu sumbangan untuk melahirkan Pegawai-pegawai Penguatkuasa Agama yang kompeten bagi menaikkan imej perundangan syariah di Malaysia.

Kursus Kemahiran Menjadi Saksi Di Mahkamah Syariah 1

Sumber berita : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1051-kursus-kemahiran-menjadi-saksi-di-mahkamah-syariah-2