Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 2-4 Ogos 2022 – Penguasaan bertutur dalam bahasa asing yang baik perlu diterapkan dalam setiap individu supaya dapat menghasilkan kepelbagaian kemahiran dalam diri serta memberikan penghayatan yang tinggi terhadap konsep kehidupan masyarakat majmuk.

Rentetan itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Kursus Bahasa Mandarin Asas pada 2 Ogos hingga 4 Ogos 2022 bertempat di Bilik Kuliah Muslim, Aras 2, Blok Akademik B, ILIM Kampus Utama Bangi. Kursus ini melibatkan penyertaan seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) JAKIM, Kader JAKIM, MAIN, JAIN, Jabatan Mufti, agensi di bawah YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan penjawat awam pelbagai skim (Gred 29 dan ke atas).

Kursus yang diadakan selama tiga (3) hari ini antara lain bertujuan untuk menguasai kosa kata yang umum dalam interaksi sosial secara santun serta mengenali ciri-ciri Bahasa Mandarin dari segi sebutan, tulisan, dan pembentukan kata yang betul dan tepat.

Kursus disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ang Lay Hoon, Pensyarah, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia yang berpengalaman luas dalam melaksanakan kursus Bahasa Mandarin khususnya kepada pelajar dewasa di pelbagai agensi kerajaan dan swasta sejak 1993 sehingga kini.

Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan input berguna kepada para peserta seterusnya memupuk minat dan keyakinan diri peserta untuk menggunakan Bahasa Mandarin yang asas.

Bahasa Berjalan Ke Beijing 1

Sumber berita : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1060-bahasa-berjalan-ke-beijing