Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi – 5 Ogos 2022 (Jumaat) – “…..Profesion Penyelia Kafa tetap relevan dalam masyarakat. Peranan mereka ini amat besar sebagai jentera penggerak kepada agensi yang bertanggungjawab dalam usaha memastikan pengurusan KAFA di peringkat negeri berjalan dengan lancar dan lebih bersistematik mengikut peraturan yang telah ditetapkan demi kepentingan pembangunan ummah secara holistik….”

Tuan Haji Aminudin bin Mohamad, Pengarah Kanan ILIM merumuskan demikian sebagai mewakili Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Lantikan Kontrak Jakim (Penyelia KAFA) di Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Utama Bangi. Ternyata kata-kata beliau begitu terinspirasi dan menyuntik semangat kepada seramai 27 orang peserta yang hadir ke kursus ini yang terdiri dalam kalangan Penyelia KAFA seluruh Malaysia.

Majlis ini turut dihadiri oleh Puan Zaizurina binti Mansor, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Profesionalisme, ILIM dan Encik Zul Azli bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sekolah Agama yang mewakili Pengarah Bahagian Pendidikan, JAKIM serta pegawai-pegawai ILIM dan Bahagian Pendidikan JAKIM.

Penganjuran Kursus Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Kontrak JAKIM (Penyelia KAFA) yang berlangsung selama lima (5) hari bermula 1 hingga 5 Ogos secara kolaborasi ILIM dengan Bahagian Pendidikan, JAKIM ini merupakan projek rintis bagi pelaksanaan kursus yang akan diikuti oleh semua penyelia KAFA lantikan JAKIM seluruh Malaysia dan sebagai benchmark kepada kursus-kursus lantikan Contract of Service (COS) JAKIM yang lain.

Diharapkan kursus seumpama ini akan melahirkan penyelia KAFA yang berilmu pengetahuan luas berkaitan peranan dan bidang kuasa JAKIM sebagai organisasi Islam, dasar-dasar umum kerajaan, kemahiran pengurusan pentadbiran dan kewangan di samping membentuk sahsiah dan jati diri yang kental untuk menghadapi apa jua cabaran.

Profesion Penyelia KAFA Tetap Relevan 1

Sumber berita : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1063-profesion-penyelia-kafa-tetap-relevan