Kurator Berita : Darul Quran
5 Ogos 2022 - Darul Quran JAKIM melalui Jabatan Pengajian Umum dengan kerjasama Jabatan Bahasa, Seksyen Pengajian Am, Cawangan Akademik telah menganjurkan Webinar berkaitan ilmu Rasm Al-Quran buat kali yang pertama. Webinar yang dilaksanakan secara hibrid ini melibatkan pelajar-pelajar semester satu Darul Quran secara bersemuka di Auditorium Darul Quran dan secara dalam talian bagi pelajar-pelajar di Lokasi Tambahan Darul Quran (LTDQ). Webinar ini turut boleh disertai oleh orang awam melalui live facebook Darul Quran JAKIM.

Penganjuran Webinar Rasm Al-Quran ini merupakan salah satu inisiatif Cawangan Akademik yang bertujuan untuk melahirkan huffaz Darul Quran serta LTDQ yang berkemahiran dalam ilmu Rasm Al-Quran seterusnya dapat meningkatkan kualiti hafazan al-Quran dalam kalangan pelajar khususnya bagi kursus Hifz Al-Quran Tahriri. Bagi mencapai objektif program, dua orang penceramah dalam bidang al-Quran telah dijemput iaitu Al-Fadhil Syeikh Hossam Hasan Mohamed ElMihy, Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran serta Ustaz Muhamad Muaz bin Abdul Hamid, yang merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Webinar ini telah disempurnakan oleh Pengarah Darul Quran, Ustaz Mohamad Kori bin Jusoh. Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah telah menyatakan bahawa hasrat Darul Quran bukan sahaja ingin melahirkan pelajar yang mampu menghafaz al-Quran tetapi turut mampu menulis ayat-ayat yang telah dihafaz berdasarkan tatacara dan kaedah-kaedah penulisan al-Quran yang sebenar. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Muhamad Zakuwa Bin Rodzali.

Melalui webinar ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi perkongsian ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang al-Quran di kalangan pelajar, warga Darul Quran seterusnya masyarakat awam yang turut terlibat dalam majlis ilmu ini secara hibrid.

DQ Anjur Webinar Rasm Al quran

Sumber berita : https://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=619