Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
Ampang, SELANGOR. 29 Ogos 2022 : YBhg. Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan lawatan kerja ke Mental Health Foundation di Wisma Mental Health Foundation (MHF) Ampang Selangor.

Hadir sama menyertai sesi lawatan adalah Tuan Haji Mohd Norizan Abd. Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM dan pegawai-pegawai dari Bahagian KSK. Menyambut kedatangan delegasi JAKIM adalah Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Mental Health Foundation bersama Ahli Lembaga Pengarah MHF Dato' Hj. Dr. Abdul Aziz Abdullah, Mejar Jeneral (B) Dato' Hashim Yahaya, Tuan Hj. Salleh ben Ibrahim dan Lt. Kolonel (B) Ramli bin Kinta. Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat dan mengetahui dengan lebih dekat program-program dan aktiviti berkaitan kesihatan mental yang dijalankan selain dari melihat fasiliti yang ada di MHF.

Dalam pertemuan ini Pengerusi MHF menyatakan hasrat yang tinggi untuk bekerjasama dengan pihak JAKIM dalam bidang kesihatan mental terutamanya bantuan kepakaran dalam pendidikan pencegahan, kempen kesedaran dan advokasi bagi menangkis stigma dan persepsi negatif awam. Bagi merealisasikan hasrat ini, JAKIM bersetuju untuk menyebarluaskan maklumat dan penjagaan kesihatan mental melalui platform radio salam.fm, radio Ikim, khutbah Jumaat, forum perdana dan simposium.

Selain dari itu antara bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan adalah menggabungkan kepakaran psikososial yang ada di MHF dengan perkhidmatan psikospiritual islam JAKIM dalam membantu kepulihan pesakit mental.

Semoga lawatan ini akan dapat memenuhi hasrat dan objektif yang disasarkan seterusnya membuka ruang kerjasama baru lebih luas antara JAKIM dan MHF demi kemaslahatan ummah dan aspirasi kerajaan membentuk sebuah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.

Lawatan KP Ke MHF 1

Lawatan KP Ke MHF 2

Lawatan KP Ke MHF 3

Lawatan KP Ke MHF 4