Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 1 September: “Identiti Malaysia berpaksikan kepada tiga (3) perkara utama iaitu Islam, Raja dan Perlembagaan”. Demikian kata-kata YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Pakar Perlembagaan / Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam program ILIM Executive Talk: “Islam Dijulang, Raja Disanjung, Perlembagaan Dijunjung” yang diadakan pada 1 September 2022 (Khamis) bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM, Kampus Utama, Bangi.

Dalam pemerhatian beliau, cuma bagaimana kita merealisasikan kedudukan Islam dalam perlembagaan itu dengan amalan dan kerja buat kita hari ini.
Beliau juga berkata, “Demokrasi perlu disesuaikan dengan Islam bukannya Islam yang perlu disesuaikan dengan demokrasi”.

Sebelum itu, dalam ucapan Aluan Pengarah Kanan ILIM, YBrs. Tuan Haji Aminudin bin Mohamad menyentuh tentang bagaimana kedudukan raja-raja dalam Islam dan perlembagaan Malaysia.

Program yang dihadiri seramai 170 orang ini kebanyakkannya terdiri pegawai-pegawai daripada JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri seluruh Malaysia, Agensi-agensi agama di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) serta pegawai perkhidmatan awam pelbagai Kementerian/Jabatan/Agensi.

Program yang berlangsung selama setengah hari ini menjadi platform untuk memberi kefahaman yang jelas dalam bidang perundangan Islam di mana perundangan Islam merupakan salah satu bidang teras yang terdapat di dalam sembilan (9) bidang teras perkhidmatan hal ehwal Islam.

  • Objektif ILIM Executive Talk: “Islam Dijulang, Raja Disanjung, Perlembagaan Dijunjung” adalah untuk:Memberi pemahaman mengenai kepentingan memahami dengan jelas mengenai kedudukan Islam dan raja dalam perlembagaan;

  • Memupuk sikap cakna undang-undang dalam kalangan peserta kerana undang-undang negara dirangka untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara;

  • Memupuk sifat cintakan negara melalui pemahaman yang jelas mengenai kedudukan Islam, raja dan perlembagaan.

Kupasan yang santai tetapi padat dengan fakta yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz diharap dapat memberikan kefahaman yang jelas berkaitan tajuk yang dibahaskan dalam program ini. Jutaan terima kasih kepada semua peserta yang memberikan komitmen menjayakan program ILIM Executive Talk: “Islam Dijulang, Raja Disanjung, Perlembagaan Dijunjung” pada kali ini. Semoga ianya memberi manfaat kepada semua.