Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Keningau Sabah, 4 September – Penguasaan bertutur dalam Bahasa Isyarat di kalangan para pendakwah di Malaysia belum begitu meluas penggunaannya. Oleh itu, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) dengan kerjasama Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) mengambil inisiatif mengadakan Kursus Asas Aplikasi Glosari Islam (i-SIGN) dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) bagi merealisasikan penyebaran risalah dakwah ini. Kursus yang diadakan pada 3 September hingga 4 September 2022 bertempat di Dewan IPDAS Keningau ini melibatkan penyertaan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Semester 5 Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah.

Kursus selama dua (2) hari ini antara lain bertujuan mendedahkan kepada para peserta mengenai istilah-istilah Islam dan kaedah asas dalam pelaksanaan ibadah Fardhu Ain serta tanggungjawab dakwah kepada Komuniti OKU Pendengaran. Selain itu, peserta didedahkan perkara-perkara berkaitan Dunia Orang Kurang Upaya (OKU), Emansipasi OKU, Dunia Pekak, Bahasa Isyarat Malaysia I & II dan Aplikasi Glosari Islam. Lima (5) orang penceramah diundang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan Glosari Islam dalam Bahasa Isyarat Malaysia iaitu YBrs. Dr. Hj. Norakyairee Mohd Raus, Pensyarah Kanan Jabatan Quran Sunnah USIM, YBrs. Dr. Fazlulaini binti Mohd Yunus, Penolong Pengarah Kanan ILIM, Encik Noordin bin Hassan dan Cik Ramna Khamaruddin, Felo Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, USIM (UMMI) dan Cik Adira binti Mad Harim, Guru Pendidikan Khas Kolej Vokasional Keningau.

Matlamat dakwah seharusnya holistik dan inklusif tanpa mengira tahap kekurangupayaan individu OKU. Di samping itu, keterlibatan para peserta bersama komuniti OKU Pendengaran mampu meningkatkan perbendaharaan BIM dan keyakinan diri sebagai pendakwah. Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan input berguna kepada para peserta seterusnya memupuk minat dan keyakinan diri peserta untuk menggunakan Bahasa Isyarat dalam lapangan.

Kursus Asas i Sign 2

Berita penuh : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1099-kursus-asas-aplikasi-glosari-islam-i-sign-dalam-bahasa-isyarat-malaysia-bim