Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Hari Ini Belia Esok Pemimpin Dunia 1

27 September 2022 (Selasa). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (JAKIM) melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah mengadakan Webinar MABIMS Youth Talk bertemakan “Hari Ini Belia, Esok Pemimpin Dunia” secara dalam talian melalui medium zoom dan disiarkan secara langsung di Facebook JAKIM dan YADIM bermula jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang.

Lintas langsung majlis perasmian webinar disempurnakan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dihadapan deligasi MABIMS bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ke 46 yang diadakan di dewan persidangan Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu Sabah pada jam 2.00 petang.

Objektif penganjuran webinar adalah menerapkan kefahaman peri pentingnya belia minda kelas pertama dan gaya kepimpinan Islam ke arah transformasi diri seiring dengan matlamat menjadikan negara sebuah negara maju di dalam era Revolusi 4.0, seterusnya memberi pendedahkan kepada peserta trend dan kompetensi kepimpinan negara terkini dan menerapkan amalan kepimpinan terbaik dalam diri dan organisasi serta memperkasa keutuhan jati diri belia Islam untuk menjadi generasi yang kalis masa hadapan (future proof) berteraskan Syariah Islamiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pembentang-pembentang webinar ini terdiri daripada YM Dyg Norwana binti Hj Emran, Pembantu Kanan Perkembangan Ugama/ Urusetia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, wakil dari Negara Brunei dengan membawa topik Jati Diri Belia. Seterusnya Prof. Dr. H Ahmad Tholabi Kharlie, Dekan Fakultas Syariah dan Hukum, UIN Syarif Hidayatullah Jakarta merupakan wakil dari Indonesia dengan topik Kesatuan Belia. Pembentang terakhir dari negara Malaysia iaitu Pesuruhjaya Kehormat (PA), Dr. Ahmad Sani bin Dato' Abdul Alim Araby dengan topik Belia dan Sukarelawan. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia).

Peserta webinar adalah terdiri daripada para belia seramai lebih kurang 150 orang yang mewakli setiap negara MABIMS. Webinar ini telah dikendalikan oleh Puan Ayesha binti Arifin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar dan Kemajuan Islam, JAKIM. Manakala Pengacara rasmi majlis perasmian webinar adalah Ustaz Mohd Hariri bin Mohd Daud, Pegawai Khas Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM.

Webinar ini berlangsung sekitar 3 jam 30 minit kepada peserta yang menyertai secara langsung melalui medium zoom dan juga melalui siaran langsung di Facebook JAKIM dan YADIM. Semoga webinar ini dapat memberi pendedahan kepada para peserta untuk meningkatkan kefahaman peri pentingnya belia minda kelas pertama dan gaya kepimpinan Islam ke arah transformasi diri dan kesedaran agar belia MABIMS menjadi sebuah kesatuan yang kuat dan saling membantu antara satu sama lain.

Hari Ini Belia Esok Pemimpin Dunia 2

Hari Ini Belia Esok Pemimpin Dunia 3

Hari Ini Belia Esok Pemimpin Dunia 4

Hari Ini Belia Esok Pemimpin Dunia 5

Hari Ini Belia Esok Pemimpin Dunia 6

Hari Ini Belia Esok Pemimpin Dunia 7