Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
New York, 23 September: Pertemuan antara YAB Perdana Menteri dan Presiden Palestin pada 23 September 2022 bersempena Sesi ke77 Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan di New York, Amerika Syarikat dari 20 hingga 26 September 2022 telah membuka lembaran baru dalam kerjasama antara Malaysia dan Palestin. Hubungan yang terjalin selama ini telah diperkukuhkan lagi dengan termeterainya 4 Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, serta memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang kesihatan, pelancongan dan hel ehwal Islam.

Bagi MoU Kerjasama dalam Pengurusan Hal Ehwal Islam, Malaysia diwakili oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala Palestin diwakili oleh Kementerian Waqf dan Hal Ehwal Agama, Palestin.

MoU ini ditandatangani oleh YB Dato' Saifuddin bin Abdullah, Menteri Luar Negeri mewakili kerajaan Malaysia dan TYT Riad al-Malki, Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat mewakili kerajaan Palestin.

MoU tersebut mengandungi 6 bidang kerjasama iaitu,
  • pengurusan hal ehwal Islam;
  • pengurusan wakaf, zakat dan haji;
  • al-Quran;
  • pengurusan masjid dan warisan Islam;
  • Pendidikan Islam; dan
  • falak syarie.

6 bidang utama ini telah diperincikan kepada 24 inisiatif yang merangkumi program pertukaran lawatan ulama dan pakar dalam bidang hal ehwal Islam dan dakwah, juga kerjasama dalam bidang penyelidikan, media Islam dan pembangunan keluarga Islam.

Antara inisiatif lain, termasuk perkongsian kepakaran dalam pengurusan masjid dan warisan Islam.

Selain itu, MoU ini juga melibatkan perkongsian maklumat dan pertukaran pakar-pakar dalam bidang Qiraat al-Quran dan juga perkongsian pengalaman dalam penganjuran tilawah dan hafazan al-Quran. Program lain adalah termasuk pertukaran pengalaman dan kepakaran dalam bidang pendidikan Islam dan juga falak syarie.

MoU ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam antara kedua-dua negara. MoU ini akan menjadi perintis kepada kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pengurusan hal ehwal Islam yang lebih luas pada masa akan datang.

MoU Pengurusan Hal Ehwal Islam Malaysia Palestin 1

MoU Pengurusan Hal Ehwal Islam Malaysia Palestin 2

MoU Pengurusan Hal Ehwal Islam Malaysia Palestin 3