Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Sabak Bernam, Selangor : Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Cawangan Dakwah Bil Hal dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaya (UM) telah berjaya menganjurkan Program MyInsaniah “Modul Kepimpinan” Siri 4/2022 pada 14 hingga 16 Oktober 2022 bertempat di Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS).

Program yang telah disertai oleh 35 orang Mahasiswa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dari tahun 2 dan 3, telah diadakan selama tiga hari dua malam melalui aktiviti pecah bendung (Ice Breaking), ceramah slot ilmu, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan Explorace yang menumpukan kepada pembangunan sifat kepimpinan. Pengisian program ini merangkumi kesihatan fizikal, kesihatan mental, kesejahteraan sosial dan kesihatan spiritual dalam pembangunan belia menjadi insan kamil.

Objektif program ini adalah untuk membangunkan belia yang memiliki kepimpinan Islam berteraskan prinsip Ihsan dan Qawiyyul Amin untuk menjadi pemimpin masa depan, untuk meningkatkan penghayatan Islam kepada golongan belia agar taat dan istiqamah dalam menyempurnakan tuntutan Islam sebagai Al-Din dan Al-Daulah serta untuk melahirkan belia sebagai modal insan yang kompeten, berintegrasi, berkualiti, berketerampilan, berdaya tahan dan memiliki jati diri yang kukuh melalui peningkatan kemahiran insaniah.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ustazah Zalina binti Long, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah JAKIM dan turut dihadiri oleh YBrs. Encik Mizra Hilmi bin Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya. Maklumbalas peserta program sangat baik dan berpuas hati dengan pengisian dan aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

MyInsaniah Siri 4 2022 Modul Kepimpinan 1

MyInsaniah Siri 4 2022 Modul Kepimpinan 2

MyInsaniah Siri 4 2022 Modul Kepimpinan 3

MyInsaniah Siri 4 2022 Modul Kepimpinan 4