Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI) telah mengadakan Majlis Pelancaran Dokumen Inisiatif Lelaki Qawwam (ILQ) pada 25 Oktober 2022 bersamaan 28 Rabiulawal 1444H bertempat di Aras 9, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB. Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan diiringi YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM.

Pembangunan dokumen ILQ adalah bertujuan untuk memperkukuhkan tanggungjawab dan menyerlahkan peranan lelaki dalam mentadbir diri, keluarga, organisasi dan masyarakat. Seterusnya dapat memperkasakan aspek kepimpinan dan keupayaan lelaki agar memiliki ciri-ciri adil, perkasa, amanah, wibawa, tekad, penyantun dan futuristik.

Disamping itu juga, pembinaan dokumen ILQ yang berdasarkan house of frameworks Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 turut mementingkan pembinaan keluarga Malaysia dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) dalam strategi pengukuhan institusi keluarga dan sosial.

Sejajar dengan pelancaran dokumen ILQ, semua wakil agensi agama di bawah YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut dijemput untuk menerima penyerahan dokumen ILQ dalam memastikan pelan komunikasi ILQ dapat dilaksanakan secara kolektif dan sistematik dengan jaringan kerjasama semua agensi terlibat. YB. Menteri turut berharap agar dokumen ILQ dapat dijadikan sebagai panduan serta rujukan penting dalam usaha mengukuhkan institusi keluarga dan sosial, seterusnya kemakmuran negara.

Majlis Pelancaran Dokumen ILQ 1

Majlis Pelancaran Dokumen ILQ 2

Majlis Pelancaran Dokumen ILQ 3

Majlis Pelancaran Dokumen ILQ 4

Majlis Pelancaran Dokumen ILQ 5