Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
KOTA KINABALU – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI) telah bekerjasama dengan Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi menjayakan Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) Bagi Zon Timur, Sabah dan Sarawak pada 3 dan 4 November 2022 bertempat di Bilik Mesyuarat Hidayah, JHEAINS, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Dalam sesi advokasi, pihak Jabatan Agama Islam Negeri telah melaporkan tindakan yang diambil bagi memastikan Pelan Tindakan DPTN 2.0 dapat mencapai objektifnya. Selain itu, perbincangan juga menumpukan kepada tindakan susulan dan cadangan baharu bagi meningkatkan usaha membantu institusi tahfiz. Advokasi kali ini telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Aminudin bin Mohamad, Pengarah Kanan BDKI dan dihadiri wakil JHEAINS, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Turut serta dalam advoaksi ialah Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Pengarah Darul Quran dan Tuan Zawawi bin Ghazali, Penasihat Undang-Undang JAKIM serta wakil Bahagian Pendidikan JAKIM.

Pada hari kedua, semua ahli mesyuarat telah dibawa melawat Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) yang terletak di Kota Kinabalu. MTS ini mula menapak di Tawau, Sabah pada tahun 2006. Sehingga kini, MTS ini telah berkembang dengan menubuhkan 3 cawangan di negeri Sabah. Taklimat berkaitan MTS telah disampaikan oleh Abi Burhan merangkap Mudir MTS dan Abi Ikmal Naim selaku guru dan graduan MTS. Antara idea menarik yang dikongsikan oleh pihak MTS ialah amalan berwakaf yang menjadi sumber utama operasi MTS selain yuran bulanan, tadbir urus tahfiz yang seragam dan kurikulum yang dipantau oleh Yayasan Tahfiz Sulaimaniyyah yang beribu pejabat di Istanbul, Turkiye. Sistem pendidikan MTS diasaskan oleh Sheikh Suleyman Hilmi Tunahan k.s lebih daripada 80 tahun lalu.

JAKIM bersama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) akan terus berusaha mencari formula dan mencetus idea ke arah memartabatkan pendidikan tahfiz di Malaysia melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 1

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 2

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 3

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 4

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 5

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 6

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 7

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 8

Advokasi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara Zon Timur 9