Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan telah mengadakan kunjung hormat ke Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang pada 7 Disember 2022 yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Mohd Haniff bin Omar @ Wahid, Pemangku Pengarah JHEAIPP. Hadir sama adalah pegawai-pegawai Bahagian Pendidikan JHEAIPP yang diketuai oleh YBhg. Dato' Mohd Nordin bin Samah, Imam Besar Masjid Pulau Pinang, Pemangku Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, JHEAIPP.

Delegasi JAKIM diketuai oleh YBrs. Encik Hanifuddin bin Roslan, Timbalan Pengarah BDKI. Turut hadir dalam delegasi tersebut Encik Mohd Anuar bin Abdul Rani, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan beserta dua orang pegawai daripada BDKI.

Kunjung hormat ini diadakan dengan objektif untuk mendapatkan penerangan berkaitan perjalanan Program KAFA di Pulau Pinang dan mendapatkan pandangan berhubung pemerkasaan pengurusan Program KAFA di samping memberi penjelasan situasi dan senario Program KAFA di Malaysia secara keseluruhan.

Menerusi perbincangan yang diadakan, beberapa idea dan pandangan telah dibincang bersama ke arah menambah baik pengurusan Program KAFA melalui Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Tahun 2022.

Sesi kunjung hormat diteruskan pada jam 12.30 tengah hari hingga jam 1.30 petang dengan lawatan mahabbah ke Pejabat Agama Daerah Timur Laut, KOMTAR. Sesi taklimat ringkas telah dipengerusikan oleh Encik Norzli bin Ahmad selaku Pegawai Tadbir Agama Daerah yang mempunyai 18 orang kakitangan iaitu 2 orang daripadanya Penyelia KAFA yang ditempatkan bagi membantu pelaksanaan Program KAFA di daerah tersebut.

Seterusnya, sesi lawatan mahabbah bergerak ke Sekolah Agama Rakyat Murad Ad-Diniyyah yang berada dalam Kompleks Masjid At-Taqwa, dahulunya pernah dijadikan Premis KAFA sebelum berjaya didirikan bangunan sekolah sendiri hasil bantuan peruntukan JAKIM, Kerajaan Negeri dan sumbangan masyarakat tempatan. Sekolah ini ditadbir oleh Puan Hairul Asma binti Haji Ramli, Guru Besar KAFA yang mempunyai 21 orang Guru KAFA dan 555 orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 5 dengan pengoperasian KAFA selama 5 hari seminggu.

JAKIM berharap agar kejayaan yang telah dicapai oleh warga sekolah hasil sokongan masyarakat tempatan ini dapat dijadikan pencetus kepada pengurusan premis-premis yang lain, demi terus melahirkan generasi khaira ummah selaras dengan visi Program KAFA.

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JHEAIPP 1

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JHEAIPP 2

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JHEAIPP 3

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JHEAIPP 4