Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Alhamdulillah dengan izin-Nya Cawangan Dasar Pendidikan Islam, Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI) JAKIM bersama Bahagian Pendidikan telah selesai melengkapkan siri-siri kunjungan hormat kepada 6 Agensi Pelaksana KAFA yang melaksanakan pengeoperasian KAFA 5 hari.

Kunjungan pada tahun ini berakhir pada 8 Disember 2022 di Jabatan Agama Islam Perak dengan disambut oleh YBrs. Encik Harith Fadzilah bin Abdul Halim, Pengarah JAIPk dan pegawai-pegawai Bahagian Pendidikan dan Bahagian Khidmat Pengurusan, JAIPk. Pertemuan dua hala ini bertujuan bagi mendapatkan penerangan berkaitan perjalanan Program KAFA di Perak dan mendapatkan pandangan berhubung pemerkasaan pengurusan Program KAFA di samping memberi penjelasan situasi dan senario terkini Program KAFA di Malaysia secara keseluruhan.

Pertemuan ini juga menjadi platform kepada JAKIM untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan JAIPk di samping menyebar luas peluang-peluang peningkatan kualiti pendidikan kepada Guru-guru KAFA di Perak.

Pada sebelah petang, sesi kunjungan diteruskan dengan lawatan ringkas ke KAFA Menengah (AIMAN) di Masjid As-Saadiyah, Ipoh, Perak bagi meninjau pelaksanaan KAFA di peringkat menengah yang diuruskan sepenuhnya oleh JAIPk dan bantuan kewangan daripada Yayasan Islam Perak serta mendapat sokongan penuh masyarakat setempat.

Seterusnya, pada jam 3.00 petang, rombongan menuju ke Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Kuala Kangsar dan sesi taklimat telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Azhar bin Ahmad, selaku Pegawai Tadbir Agama Daerah. Manakala penerangan berhubung pelaksanaan Program KAFA di Daerah Kuala Kangsar telah disampaikan oleh Encik Aizudin, Penyelia KAFA Daerah. Pertemuan berlangsung selama 1 jam dengan perbincangan ringkas berkaitan pengurusan KAFA di daerah, pemberatan dan kompleksiti tugas-tugas penyelia serta lain-lain isu yang turut dibangkitkan yang memerlukan perhatian kedua-dua agensi.

Semoga pertemuan ini memberi manfaat kepada kedua-dua agensi dalam menambah baik pengurusan Pendidikan Islam khususnya Program KAFA sama ada di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah demi terus memperkasakan Program KAFA.

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JAIP 1

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JAIP 2

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JAIP 3

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JAIP 4

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JAIP 5

Kunjung Hormat JAKIM ke Bahagian Pendidikan JAIP 6