Kurator Berita : Darul Quran
13 Januari 2023 - Seramai 289 orang pelajar terdiri daripada pelajar semester satu, empat dan tujuh Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-UNITEN telah menduduki peperiksaan bagi sesi Januari 2023. Peperiksaan yang diadakan pada 12 dan 13 Januari 2023 ini telah diadakan di Kolej Ekonomi Tenaga dan Sosial serta di Perpustakaan UNITEN.

Pada sesi peperiksaan kali ini, seramai 20 orang pegawai Darul Quran JAKIM telah dilantik sebagai Panel Hifz Al-Quran Syafawi (lisan) manakala tiga orang pegawai dilantik sebagai Pengawas Calon bagi melancarkan proses dan pengendalian di lokasi peperiksaan.

Sinergi kerjasama Pendidikan Tahfiz al-Quran yang terjalin dengan baik menerusi Program Pensijilan Tahfiz al-Quran antara JAKIM dan UNITEN sejak tahun 2012 sehinggi kini telah melahirkan seramai 263 graduan huffaz profesional dalam bidang Kejuruteraan, Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Perakaunan, Ekonomi dan Pengurusan, Pentadbiran Perniagaan serta Pengurusan Korporat.

Semoga pelajar-pelajar Program Pensijilan Tahfiz al-Quran JAKIM-UNITEN terus membina kejayaan yang cemerlang seterusnya memberi impak yang terbaik sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa-masa akan datang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan serta pegangan.

289 Pelajar Program JAKIM UNITEN Selesai Duduki Peperiksaan